CIMB beritahu MIDF, peruntukan kewangannya kekal meningkat | DagangNews Skip to main content

CIMB beritahu MIDF, peruntukan kewangannya kekal meningkat

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) meramalkan peruntukan kewangannya - dana digunakan untuk keperluan tanggungjawab syarikat, akan terus meningkat memasuki suku keempat tahun kewangan 2020 (4Q20). 

 

Perkara itu didedahkan oleh MIDF Research dalam nota kajiannya, yang menerima kemas kini daripada Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan CIMB semalam. 

 

“Ini disebabkan oleh pemboleh ubah ekonomi dan lapisan pengurusan. Walaupun begitu, pihak pengurusan mengekalkan panduan kos kreditnya pada 140 hingga 150 mata asas bagi tahun kewangan 2020 (FY20). 

 

“Tetapi, ini tidak termasuk jangkaan kerugian kredit (ECL) dalam buku bon kumpulan syarikat itu dan peruntukan lain. ECL untuk buku bonnya pada 4Q20 dijangka berada pada tahap yang sama seperti pada 3Q20. 

 

“Peruntukan lain mencatatkan nilai RM467.7 juta pada sembilan bulan pertama FY20 (9M20) berbanding RM54.7 juta pada 9M19,” jelas MIDF dalam nota kajiannya.

 

Namun, MIDF masih mengekalkan ramalan perolehan CIMB yang akan mengeluarkan laporan hasil kewangan pada bulan hadapan.

 

Tambah MIDF, walaupun terdapat tekanan kualiti aset CIMB terutamanya dengan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun situasi kali ini adalah berbeza seperti mana berlaku pada Mac dan April 2020. 

 

Kualiti aset mungkin menurun lagi akibat PKP, namun, MIDF melihat impaknya terhad kerana penguatkuasaan itu lebih longgar berbanding sebelum ini.

 

“Dari segi kualiti aset, kami difahamkan ia masih stabil dan tiada apa perlu dibimbangkan. Pengambilan bantuan pinjaman yang disasarkan serta penjadualan semula dan penyusunan semula (R&R) lebih baik daripada jangkaan terutama melibatkan segmen B40 di Malaysia.

 

“Bantuan pinjaman di negara ini berjumlah 9.8% daripada buku pinjaman Malaysia atau 6.4% daripada jumlah buku pinjaman kumpulan syarikat itu pada 3Q20,” jelas MIDF lanjut. 

 

Secara keseluruhannya, MIDF menjangkakan kos kredit CIMB akan terus meningkat sehingga separuh pertama tahun ini (1H21). 

 

Bagaimanapun, firma penyelidik itu percaya CIMB akan menghadapi arus perubahan semasa dalam kekuatan kedudukannya berdasarkan pengukuhan modal selama ini.

 

“Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM3.50,” tambah nota kajian itu. - DagangNews.com