CIMB Securities lantik Stephen Hagger sebagai Pengerusi Bebas dan tiga lagi galas jawatan pengarah | DagangNews Skip to main content

CIMB Securities lantik Stephen Hagger sebagai Pengerusi Bebas dan tiga lagi galas jawatan pengarah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - CIMB Securities Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh CIMB Investment Bank Berhad, telah melantik empat profesional berpengalaman, iaitu Stephen Hagger, Novan Amirudin, Tan Ting Min dan Julia Hashim menyertai Lembaga Pengarahnya berkuat kuasa serta-merta.

 

Hagger dilantik sebagai Pengerusi Bebas CIMB Securities, manakala Novan menggalas peranan Pengarah Bukan Bebas serta Tan dan Julia selaku Pengarah Bebas.

 

Pelantikan Lembaga Pengarah adalah satu langkah ke hadapan untuk mengukuhkan kedudukan CIMB Securities dalam pasaran sebagai menjadi pembrokeran masa hadapan, sementara syarikat itu  mengukuhkan kedudukannya untuk menjadi rakan kongsi utama dalam pasaran modal Malaysia. 

 

Pengumuman pelantikan tersebut adalah susulan pengambilalihan KAF Equities Sdn Bhd (kini dikenali sebagai CIMB Securities) yang selesai baru-baru ini, sebagai sebahagian daripada strategi CIMB Investment Bank untuk mengembangkan keupayaan dalaman, yang melengkapkan perniagaan perbankan borong CIMB Group di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Securities, Ruzi Rani Ajith berkata, Lembaga Pengarah CIMB Securities memiliki kepakaran yang signifikan dalam melaksanakan keutamaan strategik untuk memacu nilai pemegang saham.

 

“Mereka mempunyai kemahiran, pengalaman dan latar belakang profesional yang mewakili kepelbagaian pandangan dan ciri-ciri yang amat relevan kepada perniagaan dan objektif strategik syarikat,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Stephen Hagger
Stephen Hagger

 

Hagger sebelum ini merupakan Ketua Negara serta Pengarah Urusan dan Ketua Ekuiti Credit Suisse Malaysia. Kepimpinannya menjadikan pasukan itu mengulangi kedudukan teratas daripada Institutional Inverstors.

 

Sebelum menyertai Credit Suisse pada 1998, beliau adalah Pengarah Urusan, Ketua Negara dan Ketua Penyelidikan Ekuiti di BZW Malaysia. 

 

Novan Amirudin
Novan Amirudin

 

Sementara itu, Novan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Borong Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank, yang bertanggungjawab terhadap perniagaan perbankan korporat, perbankan pelaburan dan perbankan persendirian Kumpulan CIMB. 

 

Beliau telah berkecimpung lebih 20 tahun dalam perbankan pelaburan dan kewangan korporat di Kuala Lumpur, Jakarta dan Singapura.

 

 Tan Ting Min
Tan Ting Min

 

Tan pula merupakan Pengarah Bebas CIMB Investment Bank dengan rekod prestasi yang mengagumkan selama lebih 30 tahun sebagai penganalisis penyelidikan ekuiti.

 

Beliau memulakan kerjayanya di Ke-Zan Securities Sdn. Bhd. dan menyertai Credit Suisse Securities (Malaysia) Sdn. Bhd dan seterusnya menjadi Ketua Penyelidikan pada 1994. 

 

Sementara itu, Julia ialah profesional berpengalaman, terutamanya dalam industri perbankan, yang mana jawatan terakhir beliau sebelum bersara adalah Ketua Pegawai Operasi ASEAN di Principal Asset Management Berhad.

 

Sebelum memegang jawatan di Principal Asset Management, Julia telah berkhidmat selama 23 tahun di CIMB Investment Bank, memegang jawatan seperti Ketua Ekuiti Malaysia dan Ketua Jualan Institusi ASEAN. - DagangNews.com