KUALA LUMPUR 27 Okt - Capitaland Malaysia Malaysia Trust (CLMT) menyasarkan 100% portfolio penarafan hijau menjelang 2026 sebagai usaha memenuhi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Bagaimanapun, RHB Research berkata, usaha itu akan dilaksanakan sepenuhnya tetapi tidak akan melibatkan Plaza Sungei Wang kerana ia bukan milik penuh CLMT.
"Usaha utama adalah untuk menaik taraf menara penyejuk untuk pusat membeli-belah menjadi lebih cekap tenaga.
"Langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu satu bangunan bagi setiap tahun dalam usaha menguruskan perbelanjaan modal (capex)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, pendapatan hartanah bersih (NPI) bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2022 (3QFY22) meningkat dua kali ganda kepada RM38.21 juta daripada RM18.57 juta setahun sebelumnya, sejajar dengan hasil yang lebih tinggi di semua hartanahnya.
Hasil meningkat 45.87% kepada RM71 juta berbanding RM48.68 juta berikutan peningkatan berterusan dalam sentimen runcit dan ketiadaan pelepasan sewa.
Firma itu berkata, menerusi pasar raya baharu di 3 Damansara Mall, kumpulan itu berharap untuk meningkatkan usaha pajakan untuk pemulihan pusat beli-belah itu.
Katanya, walaupun mencatatkan kepurusan kewangan yang positif namun mereka sedar dengan halangan makroekonomi yang mungkin melemahkan kadar pemulihan pada masa hadapan.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 57 sen, lebih rendah berbanding 61 sen sebelum ini," katanya. - DagangNews.com