Commerce Access, Digital Paper jalin kerjasama lancar platform Talkdesk di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Commerce Access, Digital Paper jalin kerjasama lancar platform Talkdesk di Malaysia

(Dari kiri) Pengarah CASB, Putri Nurul Ida Yahya, Afidah Kamaruddin, Rickie Liew dan Pengurus Saluran Kanan APAC Talkdesk, Chris Borg ketika pelancaran platform Talkdesk, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Julai - Commerce Access Sdn Bhd (CASB) yang dikenali sebagai syarikat sumber luar proses perniagaan (BPO) dan Digital Paper Sdn Bhd (DPSB), penyedia perkhidmatan rumusan awan, menjalin kerjasama untuk memperkenalkan teknologi terkini di Pusat Hubungan sebagai Perkhidmatan (CCaaS) kepada Malaysia yang dikenali sebagai Talkdesk.

 

Kerjasama strategik antara CASB dan DPSB bertujuan untuk memenuhi permintaan yang meningkat bagi rumusan pusat hubungan termaju yang mengoptimumkan kecekapan operasi, seterusnya memberikan kepuasan kepada pelanggan.

 

Naib Presiden CASB,  Afidah Kamarudin berkata, pihaknya teruja untuk mengumumkan kerjasama bersama Talkdesk dan DPSB, sekali gus membolehkan mereka menyediakan rumusan lengkap yang menggabungkan perkhidmatan terbaik dengan teknologi terkini.

 

"Platform CCaaS yang merupakan peneraju industri Talkdesk melengkapkan komitmen kami untuk memberikan pertumbuhan perniagaan yang berkesan kepada pelanggan kami. 

 

"Kami akan sama-sama berusaha mengukuhkan perkongsian yang dibina atas kepercayaan dan faedah bersama," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pengarah Urusan DPSB, Rickie Liew pula berkata, pihaknya sangat gembira dapat bekerjasama dengan CASB, sebuah syarikat yang memiliki reputasi tinggi.

 

"Kerjasama ini membolehkan kami meluaskan capaian kami di Malaysia dan menawarkan lebih banyak peluang kepada perniagaan untuk memanfaatkan kuasa platform CCaaS kami yang terkini," katanya.

 

Talkdesk diiktiraf sebagai peneraju dalam 'Gartner Magic Quadrant' untuk CCaaS selama empat tahun berturut-turut serta tersenarai dalam Forbes Cloud 100. 

 

Sebagai platform berasaskan awan yang dikuasakan teknologi kecerdasan buatan (AI) termaju, Talkdesk membolehkan perniagaan menyediakan pengalaman pengguna yang intuitif dan interaksi yang lancar merentasi berbilang saluran komunikasi.

 

Melalui rumusan yang termaju ini, syarikat boleh memberikan pengalaman pelanggan yang luar biasa tanpa dibebani pelaburan perkakasan yang mahal dan dengan masa pelaksanaan yang lebih pantas.

 

Menurut Observe AI, pusat-pusat hubungan mempunyai metrik KPI yang memberi tumpuan kepada skor pengalaman pelanggan (sebanyak 55%) dan skor kepuasan pelanggan (sebanyak 58%). 

 

Syarikat-syarikat global juga mengembangkan modal pelaburan yang tinggi untuk memperoleh perisian pusat hubungan yang mana sebanyak AS$24 bilion dibelanjakan dan dijangkakan lebih banyak pelaburan dibuat pada masa akan datang. - DagangNews.com