Concorde Hotel Kuala Lumpur "bukan untuk dijual", kata pemilik  | DagangNews Skip to main content

Concorde Hotel Kuala Lumpur "bukan untuk dijual", kata pemilik 

Concorde Hotel Kuala Lumpur
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Concorde Hotel Kuala Lumpur "bukan untuk dijual" oleh pemilik dan pemegang sahamnya, kata Pengerusi Ampang Hotel Sdn Bhd, Tan Sri Sallehuddin Mohamed.

 

Sallehuddin berkata, para pemegang saham berasa "berpuas hati dengan kemajuan kami dan hala tuju kami" terhadap hotel itu.

 

"Hotel Concorde Kuala Lumpur terus berkembang maju kerana hasil usaha pasukan kami yang berdedikasi dan juga kesetiaan tetamu kami. 

 

 

"Kini memasuki tahun ke-33 kami dalam perniagaan perhotelan, Concorde Hotel Kuala Lumpur kekal fokus meningkatkan perkhidmatan, mengembangkan tawaran kami serta memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan," ujar beliau dalam satu kenyataan.

 

Concorde Hotel KL yang telah dijenamakan semula daripada bekas Hotel Merlin merupakan hotel empat bintang dengan 581 bilik terletak di sepanjang Jalan Sultan Ismail.

 

Dilaporkan hotel 19 tingkat itu dan tanah jirannya akan dijual pada harga RM700 juta, dengan rancangan untuk merobohkan bangunan berusia 67 tahun itu bagi memberi laluan kepada pembangunan bersepadu berbilion ringgit.

 

Kedua-dua hotel dan tanah meliputi sejumlah kira-kira 4.5 hektar itu adalah hartanah pegangan bebas.

 

Pada tahun 2018, Hotel Concorde KL dilaporkan sedang dalam perancangan untuk pembangunan semula, tetapi telah dibatalkan akibat kerja-kerja menaik taraf.

 

Ampang Hotel Sdn Bhd dikaitkan dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, usahawan Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir dan taikun Singapura Ong Beng Seng melalui Hotel Properties Ltd yang tersenarai di Singapura.- DagangNews.com