Country Heights sudah selesaikan tuntutan hutang Tetuan Chellam Wong berjumlah RM425,060 | DagangNews Skip to main content

Country Heights sudah selesaikan tuntutan hutang Tetuan Chellam Wong berjumlah RM425,060

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Sept - Country Heights mengesahkan sudah menyelesaikan tuntutan hutang Tetuan Chellam Wong berjumlah RM425,060 yang didakwa belum dibayar sejak September 2023.

 

Pembayaran itu adalah melibatkan perkhidmatan undang-undang yang disediakan firma guaman itu berhubung pelaksanaan korporat syarikat.

 

"Kami berbesar hati untuk mengesahkan bahawa Country Heights telah menjelaskan bayaran penuh sebanyak RM425,060, tanpa sebarang pengakuan liabiliti mengikut permintaan pempetisyen.

 

"Akibatnya,Tetuan Chellam Wong telah mengambil keputusan untuk menarik balik petisyen penggulungan selewat-lewatnya pada 12/9/2024, dan dengan itu perkara itu telah diselesaikan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, sebagai sebuah syarikat tersenarai awam, Country Heights komited untuk melaksanakan standard tertinggi tadbir urus korporat, ketelusan dan tanggungjawab kewangan.

 

Penyelesaian pantas ini mengesahkan dedikasi pihaknya dalam mengekalkan kepercayaan dan keyakinan pemegang saham, rakan kongsi dan orang ramai.

 

Tetuan Chellam Wong memfailkan petisyen penggulungan terhadap Country Heights pada 22 Julai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di mana ia memohon Country Heights digulung di bawah peruntukan Akta Syarikat 2016, dan penerima rasmi dilantik sebagai pelikuidasi, kos petisyen dan relif lain yang diberikan oleh mahkamah.

 

Country Heights, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Bursa Malaysia bulan lepas, berkata petisyen itu timbul daripada kegagalan syarikat menyelesaikan sejumlah RM425,060 yang timbul daripada perkhidmatan perundangan yang disediakan untuk pelaksanaan korporat yang telah dibatalkan kerana ia mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan. - DagangNews.com