Crescendo lupus 9 tanah bernilai RM111 juta di Johor | DagangNews Skip to main content

Crescendo lupus 9 tanah bernilai RM111 juta di Johor

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Crescendo Corp Bhd (CCB) melupuskan sembilan bidang tanah lapang pegangan bebas berukuran kira-kira 82,496.4 meter persegi di Johor kepada Yu Ao Sdn Bhd dengan jumlah pertimbangan tunai RM111 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat hartanah itu berkata anak syarikatnya, Panoramic Industrial Development Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Yu Ao pada 15 November.

 

Menurut kumpulan itu, kadar pertimbangan jualan RM125 setiap kaki persegi akan dinaikkan kepada RM127 sekiranya pengecualian stesen pensuisan utama Tenaga Nasional Bhd diperolehi ke atas tanah tersebut.

 

CCB dijangka mencatatkan keuntungan disatukan selepas cukai kira-kira RM68.33 juta daripada jualan itu.

 

Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, pelupusan sembilan bidang tanah itu dijangka siap menjelang suku ketiga 2024.

 

Kumpulan itu berkata hasil itu akan digunakan untuk pembangunan baki bank tanah milik kumpulan itu, modal kerja dan penyelesaian liabiliti sedia ada.  

 

Pada pukul 2:19 petang ini, saham Crescendo telah menokok 2 sen atau 1.5% kepada RM1.38 dengan permodalan pasaran sebanyak RM387 juta.- DagangNews.com