Cuaca baik diramal tingkatkan pengeluaran buah tandan segar IOI Corp sebanyak 5% pada FY25 | DagangNews Skip to main content

Cuaca baik diramal tingkatkan pengeluaran buah tandan segar IOI Corp sebanyak 5% pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - AmInvestment Bank Bhd meramalkan keadaa cuaca yang baik di Malaysia dan Indonesia akan memacu peningkatan buah tandan segar (BTS) IOI Corporation Bhd (IOI) sebanyak 5% pada FY25.

 

Katanya, kos pengeluaran keseluruhan dianggarkan lebih rendah pada RM2,300/tan pada FY24E berbanding RM2,500/tan pada FY23 memandangkan kos baja telah berkurangan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan untuk produk oleokimia IOI semakin bertambah baik. Kebanyakan asid lemak IOI dijual di Asia, yang lebih berdaya tahan daripada Eropah.

 

"Bagaimanapun, keadaan operasi dalam industri penapisan sawit adalah mencabar kerana persaingan dari Indonesia.

 

"Kami meramalkan margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pembuatan IOI (oleokimia dan penapisan) meningkat lebih 30% pada FY25 selepas menjunam sebanyak 57% pada FY24.

 

"IOI juga bersedia dengan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR), yang akan dilaksanakan pada penghujung 2024. Kira-kira 97.4% daripada minyak sawit mentah (MSM) kumpulan dan 91.4% daripada minyak isirung sawit (PKO) mentah boleh dikesan ke ladang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment berkata, kumpulan itu sedang mengamalkan ekonomi bulat dalam usaha niaga pulpa dan kayunya.

 

Katanya, sisa daripada pokok kelapa sawit seperti batang dan tandan buah kosong digunakan untuk menghasilkan pulpa serta produk panel kayu.

 

"Kami percaya bahawa ini adalah pelaburan jangka panjang dan tempoh bayaran balik mungkin lebih daripada lima tahun," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah jualan panel kayu dari kilang IOI di Johor adalah perlahan pada masa ini dan pihakna percaya bahawa jumlah jualan serta pengeluaran akan meningkat secara beransur-ansur pada tahun-tahun akan datang.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM4.10 sesaham," katanya.- DagangNews.com