Cukai Makmur - Untung bersih Maybank dijangka merosot 6% kepada RM7.443 juta : CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Cukai Makmur - Untung bersih Maybank dijangka merosot 6% kepada RM7.443 juta : CGS CIMB

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - CGS-CIMB menjangkakan untung bersih Maybank bagi tahun kewangan 2022 merosot 6% daripada RM7.922 juta kepada RM7.443 juta susulan pelaksanaan Cukai Makmur. 

 

Firma penganalisis itu berkata, pihaknya turut mengunjurkan penurunan 3.2% dalam pendapatan sesaham (EPS) untuk tahun kewangan 2022 terutamanya disebabkan oleh Cukai Makmur berbanding ramalan pertumbuhan 3.8% sebelum ini. 

 

Walau bagaimanapun katanya, unjuran pertumbuhan EPS bagi 2023 dijangka meningkat daripada 6.9% kepada 16.1% disebabkan oleh asas yang lebih rendah dalam tahun kewangan sebelumnya berikutan pengurangan EPS dan kesan kenaikan OPR.

 

"Sejak tercetusnya wabak Covid-19 pada awal 2020, keuntungan bersih Maybank telah terjejas secara negatif oleh pelbagai langkah berkaitan bantuan pembayaran balik yang diberikan oleh bank kepada peminjamnya. 

 

"Ini termasuk pengecualian faedah untuk pinjaman kadar tetap pada suku kedua dan ketiga 2020 yang membawa kepada kerugian pengubahsuaian sebanyak RM314 juta untuk Maybank dan pengecualian faedah 3 bulan untuk peminjam B50 pada suku keempat 2021 dan separuh pertama 2022.

 

"Kami menganggarkan kesan negatif sebanyak RM125 juta," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Bagaimanapun CGS-CIMB mengekalkan saranan 'Tambah' ke atas saham-saham Maybank kerana ia sepatutnya mendapat manfaat daripada pertumbuhan pinjaman yang lebih kukuh sebanyak 5- 6% di Singapura dan di Indonesia untuk tahun 2022 berbanding unjuran pertumbuhan pinjaman industri sebanyak 4-5% untuk Malaysia.

 

"Ini akan membantu Maybank mencatatkan lantunan semula dalam pertumbuhan keseluruhan pinjamannya pada tahun kewangan 2022 yang merupakan pemangkin penarafan semula saham. 

 

"Walaupun selepas mengambil kira kesan negatif Cukai Makmur, hasil dividen tahun penuh 2022 kekal menarik pada 4.8%," katanya, -DagangNews.Com