Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Okt. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 15 kompaun bernilai RM700,000 kepada 6 syarikat telekomunikasi (telco) pada 1 Oktober 2020.
Jelas SKMM, kompuan yang dikenakan itu adalah atas kesalahan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna yang dilakukan pada 2019.
"Mendahului penerima jumlah kompaun tertinggi iaitu U Mobile Sdn. Bhd. dengan lima kompaun bernilai RM250,000 diikuti dengan Celcom Axiata Berhad dan Tune Talk Sdn. Bhd. dengan masing-masing menerima tiga kompaun berjumlah RM150,000.
"Maxis Broadband Sdn. Bhd. pula dikenakan dua kompaun bernilai RM100,000, manakala YTL Communication Sdn. Bhd. dan Tune Plus Sdn. Bhd masing menerima satu kompaun dengan nilai RM40,000 dan RM10,000," kata SKMM dalam satu kenyataan hari ini.
Kesemua kompaun yang dikeluarkan itu meliputi kesalahan di bawah Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dibaca bersama Seksyen 242 Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Tambah SKMM, tindakan yang diambil itu mencerminkan ketegasan dan komitmen pihaknya dalam memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara selain memastikan proses pendaftaran kad SIM prabayar mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
"Selain tindakan penguatkuasaan, langkah proaktif lain turut diambil oleh SKMM seperti pendaftaran kad SIM menggunakan Platform Automatik yang sulit (encrypted) dan terjamin (secured) sahaja.
"Selain itu, penyedia perkhidmatan juga tidak akan mendaftarkan mana-mana pelanggan baharu untuk memiliki lebih daripada lima kad SIM untuk setiap individu," tambah SKMM lagi.
Tindakan tegas juga bakal dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati tidak mematuhi segala garis panduan yang telah digariskan SKMM.
"SKMM tidak akan berkompromi dalam hal ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan," tegas SKMM. - DagangNews.com