KUALA LUMPUR 29 Nov – Datasonic Group Berhad, satu daripada penyedia penyelesaian ICT bersepadu berkaitan keselamatan yang paling terkemuka di Malaysia, mencatat lonjakan perolehan sebanyak 225.7% tahun ke tahun bagi 2QFY23 kepada RM93.6 juta berbanding RM28.7 juta pada tahun sebelum ini, sekaligus hasil suku tahunan tertinggi pernah diraihnya.
Pencapaian ini adalah isebabkan terutamanya oleh bekalan pasport, kad pintar dan perkhidmatan pemperibadian yang lebih tinggi, kata syarikat itu dalam kenyataan di sini hari ini.
Penambahbaikan garis atas yang kukuh juga dicerminkan dalam garis bawah. Keuntungan selepas cukai 2QFY23 dan kepentingan bukan kawalan (PATNCI atau keuntungan bersih) melonjak kepada RM24.9 juta daripada RM1.0 juta setahun lalu didorong oleh faktor-faktor yang dinyatakan di atas.
Secara kumulatif, hasil 1HFY23 Datasonic meningkat 241.8% YoY kepada RM157.7 juta berbanding RM46.1 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, keuntungan bersih bagi tempoh dalam tinjauan melantun semula dengan kukuh kepada RM36.9 juta daripada kerugian bersih RM4.6 juta pada 1HFY22.
Pengerusi Eksekutif Datasonic, Datuk Abu Hanifah Noordin berkata, “Kumpulan sangat teruja untuk menyampaikan satu lagi keputusan yang kukuh dan mengekalkan momentum sihat yang diperoleh dalam tahun kewangan semasa.
"Permohonan baharu dan pembaharuan pasport digabungkan dengan lonjakan permohonan kali pertama dan penggantian MyKad sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa pastinya memberi petanda yang baik untuk kami.”
“Keadaan semakin baik bagi Datasonic memandangkan pemulihan pendapatan kami bersama-sama dengan projek kad pekerja asing (I-Kad) yang diraih baru-baru ini.
"Pada masa yang sama, kami juga mengambil langkah ke hadapan dalam usaha pendigitalan kami berikutan kerjasama kami dengan Meta Doers World untuk meneroka peluang yang berkaitan dengan Metaverse, memfokuskan pada sektor pendidikan dan penjagaan kesihatan.
"Secara keseluruhannya, tinjauan Kumpulan terus menarik dan kami mengharapkan prestasi kewangan yang lebih baik untuk FY2023 tanpa sebarang keadaan yang tidak diduga,” tambah beliau lagi.
Secara berurutan, hasil 2QFY23 Kumpulan meningkat 46.1% suku ke suku kepada RM93.6 juta daripada RM64.1 juta pada 1QFY23. Keuntungan bersih bagi suku semasa dalam tinjauan meningkat dua kali ganda pada asas QoQ kepada RM24.9 juta berbanding RM12.0 juta pada suku sebelumnya.
Buku pesanan Datasonic berjumlah kira-kira RM340 juta pada 30 September 2022 dan kekal dalam kedudukan tunai bersih.
Bagi suku semasa dalam tinjauan, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 0.50 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen sesaham untuk tempoh kewangan semasa kepada 0.75 sen. Datasonic telah membayar dividen secara konsisten setiap tahun sejak penyenaraiannya pada 2012.
Ketika pasaran ditutup hari ini, kaunter Datasonic mencatat kenaikan 3 sen atau 6.19% kepada 52 sen sesaham, dengan nilai modal pasaran berjumlah RM1.5 bilion. - DagangNews.com