Datuk Mohammad Faiz Azmi dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif SC berkuat kuasa 16 Jun 2024 - MoF | DagangNews Skip to main content

Datuk Mohammad Faiz Azmi dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif SC berkuat kuasa 16 Jun 2024 - MoF

Datuk Mohammad Faiz Azmi Mohammad Azmi dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif SC
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Jun - Datuk Mohammad Faiz Azmi Mohammad Azmi dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang baharu menggatikan Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin yang akan bersara pada 15 Jun 2024.

 

Mohammad Faiz Azmi merupakan Ahli Lembaga SC dan pernah menjadi Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia.

 

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, pelantikan Mohammad Faiz Azmi sebagai Pengerusi SC adalah untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 16 Jun 2024 hingga 15 Jun 2027. 

 

"Datuk Mohammad Faiz Azmi mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang kewangan, pasaran modal, audit dan pengurusan kewangan.

 

"Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni (Perundangan) daripada Durham University dan ahli beberapa badan profesional seperti Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW), Datuk Mohammad Faiz Azmi berpengalaman menjadi Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia dan Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB). 

 

"Beliau merupakan Ahli Lembaga SC sejak 15 Ogos 2023. Berbekalkan pengalaman yang ada, MOF yakin beliau mampu memberi sumbangan cemerlang demi memastikan SC mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

amir hamzah
Amir Hamzah Azizan bersama Awang Adek Hussin (kiri) daam satu pertemuan baru-baru ini.-Gambar SC.

 

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kementerian Kewangan berterima kasih kepada Dr. Awang Adek atas perkhidmatan beliau di SC.

 

"MoF percaya kepakaran serta pengalaman beliau akan dapat terus dimanfaatkan oleh pasaran kewangan negara," kata Amir Hamzah.

 

Tambah MoF, di bawah kepemimpinan Dr. Awang Adek, SC telah merombak dua undang-undang pasaran modal utama yang kini menunggu kelulusan kerajaan dan memperkenalkan Bursa Sosial (Social Exchange), sebuah platform pengumpulan dana khusus untuk projek dengan hasil sosial yang positif melalui penggemblengan dana swasta dan dermawan dalam memenuhi keperluan golongan kurang bernasib baik.

 

"Lain-lain pencapaian beliau termasuk Program Siswazah Pasaran Modal (investED) untuk memastikan kumpulan tenaga mahir industri yang mampan, pelancaran prinsip Maqasid al-Shariah untuk pasaran modal Islam, dan pelancaran pelan hala tuju untuk PKS dan syarikat peringkat pertengahan," kata kenyataan itu. - DagangNews.com