Daya tahan permintaan domestik Malaysia tidak mungkin berterusan – ICAEW | DagangNews Skip to main content

Daya tahan permintaan domestik Malaysia tidak mungkin berterusan – ICAEW

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - Daya tahan permintaan domestik di Malaysia tidak mungkin berterusan memandangkan terdapat petanda awal kelemahan penggunaan swasta dan sektor perkhidmatan, kata Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

 

“Hasil daripada cabaran luaran dan domestik, Oxford Economics mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.3% pada 2023, di bawah purata sebelum pandemik sebanyak 5% setahun.

 

“Kesan daripada pendapatan eksport yang lebih lemah mula memberi kesan kepada pasaran buruh dan keyakinan. Walaupun eksport telah bertambah baik baru-baru ini, keuntungan pengeksport masih lebih rendah daripada setahun atau lebih yang lalu.

 

“Penurunan pendapatan eksport juga menjejas pelaburan, terutamanya di negara-negara di mana kebanyakan industri tertumpu kepada perdagangan, seperti Singapura dan Malaysia,” ulasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Walaupun penggunaan kerajaan dijangka terus kukuh, firma itu berpendapat bahawa daya tahan permintaan domestik tidak mungkin berterusan memandangkan penggunaan swasta, iaitu perbelanjaan pengguna mungkin mengalami kesukaran tahun depan.

 

Menurut ICAEW, Statistik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia menunjukkan 6.3 juta ahli (hampir 20% daripada penduduk Malaysia) di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.

 

“Ini menyerlahkan kesan serius pandemik terhadap kunci kira-kira isi rumah. Simpanan tersebut perlu diisi semula, mengurangkan perbelanjaan semasa dalam beberapa tahun akan datang,” ulasnya.

 

Di samping itu, ICAEW menjangkakan pelaburan diredam, walaupun telah menunjukkan sedikit daya tahan baru-baru ini disebabkan oleh projek kerajaan dan pelaburan dalam pembangunan kediaman, manakala eksport barangan yang lemah akan menjejaskan pelaburan perniagaan, di samping kadar faedah yang lebih tinggi.

 

“Bagi perdagangan perkhidmatan, terdapat tanda-tanda bahawa rangsangan pelancongan kepada pertumbuhan berurutan telah mula pudar. Begitu juga, eksport barangan menghadapi prospek yang tidak menentu berikutan pertumbuhan global diunjur perlahan pada 2024.

 

“Secara keseluruhannya, walaupun sektor luar akan kurang menjejas ekonomi pada tahun depan, ia tidak mungkin memberikan banyak sokongan,” tambahnya.

 

Di sebalik mata wang yang terjejas, ICAEW berkata Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3%, yang menandakan bahawa bank pusat itu lebih prihatin terhadap pertumbuhan dan kesan kadar lebih tinggi ke atas sektor perbankan susulan kelemahan mata wang dan inflasi yang rendah.

 

“Bagaimanapun, pengurangan kadar juga tidak mungkin. Inflasi makanan yang didorong oleh keadaan El Nino masih menimbulkan risiko kenaikan harga.

 

“Bank pusat itu juga akan mengambil berat tentang kesan perbezaan kadar dasar yang melebar dengan Amerika Syarikat berdasarkan mata wang yang sudah lemah,” katanya.  - DagangNews.com