Dedak isirung sawit selamat digunakan dalam bahan makanan lembu tenusu - MPOB | DagangNews Skip to main content

Dedak isirung sawit selamat digunakan dalam bahan makanan lembu tenusu - MPOB

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - Dedak isirung sawit (PKE atau PKC) selamat digunakan dalam bahan makanan untuk lembu tenusu, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penemuan penyelidikan ini bercanggah dengan satu artikel yang diterbitkan baru-baru ini yang menyatakan bahawa PKE mengandungi kepekatan beberapa unsur seperti besi, magnesium, dan fosforus yang melebihi paras selamat untuk kesihatan lembu tenusu.

 

Beliau berkata, kajian yang menggunakan kumpulan PKE berbeza menunjukkan kesan positif secara konsisten terhadap prestasi dan kesihatan lembu tenusu.

 

“Ini menunjukkan unsur surih yang berbeza daripada kumpulan pengeluaran PKE yang berbeza tidak mempunyai kesan negatif ke atas lembu tenusu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, artikel itu juga menyebut bahawa beberapa kelompok mengandungi kepekatan aluminium, kuprum (tembaga), sulfur dan kalium dalam 90% daripada had selamatnya.

 

Menurut Ahmad Parveez, penggunaan PKE dalam diet lembu tenusu dirumus oleh pakar pemakanan haiwan bagi memenuhi keperluan nutrien.

 

“PKE biasanya digunakan dalam nisbah tertentu dengan bahan makanan lain, menghasilkan tahap unsur surih dalam diet yang lebih bermanfaat dan lebih selamat untuk haiwan," katanya.

 

 

mpob
                     Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

 

 

Beliau berkata, PKE telah digunakan secara meluas dalam diet lembu tenusu selama beberapa dekad dan kesan baiknya telah dilaporkan oleh ramai penyelidik.

 

Katanya, kajian mendedahkan bahawa penggunaan PKC sehingga 15% daripada diet lembu tenusu mengurangkan kos makanan dan meningkatkan kandungan protein susu tanpa menjejaskan hasil susu.

 

“Tambahan pula, kajian ini juga merumuskan bahawa disebabkan profil asid lemaknya yang spesifik, dua hingga tiga kilogram PKC yang diberi setiap hari kepada lembu tenusu cenderung meningkatkan kandungan lemak susu untuk penghasilan mentega yang pejal," katanya.

 

Selain itu katanya, dakwaan lain di dalam artikel itu termasuk isu biodiversiti akibat penebangan hutan hujan tropika untuk pengeluaran minyak sawit.

 

“Dakwaan di dalam artikel tersebut tidak dibuktikan secara saintifik dalam percubaan pemberian makanan dan dibuat semata-mata untuk mempromosikan penggunaan bahan sisa makanan tempatan mereka yang banyak sebagai alternatif kepada PKE dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang dihasilkan di tapak pelupusan di negara mereka," katanya. - DagangNews.com