Di sebalik prestasi kukuh, penurunan ASP dijangka terus pengaruhi prospek Hartalega, Kossan | DagangNews Skip to main content

Di sebalik prestasi kukuh, penurunan ASP dijangka terus pengaruhi prospek Hartalega, Kossan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - Harga purata jualan (ASP) bagi sarung tangan nitril dijangka menurun dalam tempoh 3 hingga hingga 6 bulan akan datang pada paras sekitar AS$25 hingga AS$30, menurut AmInvestment Bank Research. 

 

Penganalisisnya, Alan Lim Seong Chun berkata, terdapat 2 faktor yang akan mempengaruhi penurunan ASP ini dalam tempoh terdekat. 

 

Katanya, pengeluar utama sarung tangan telah memperlahankan pengembangan mereka sejak 3 bulan lalu manakala pemain yang kurang efisien dalam sektor ini mula mengalami kerugian. 

 

"Sebagai contoh, Blue Sail Medical merekodkan kerugian bersih sebanyak RMB22.9 juta pada suku ketiga 2021 yang mana kami percaya ini disebabkan penurunan ASP sarung tangan. 

 

"Blue Sail Medical pula merupakan pengeluar sarung tangan utama China dengan anggaran 5% penguasaan pasaran bagi bekalan sarung tangan perubatan di peringkat global. 

 

"Ditambah dengan masalah bekalan tenaga di China ekoran kedatangan musim sejuk, kami menjangkakan kurangnya persaingan daripada China pada tahap rendah semasa dengan ASP di bawah AS$35 per 1,000 keping bagi sarung tangan nitril," jelasnya dalam nota kajian hari ini. 

 

Namun, secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor sarung tangan memandangkan hasil suku ketiga 2021 yang memenuhi jangkaan, di sebalik prestasi kurang memberangsangkan Top Glove Corp. Bhd.   

 

Bagaimanapun, prestasi kewangan Hartalega Holdings Bhd. dan Kossan Rubber Industries Bhd. adalah sejajar dengan unjurannya. 

 

"Pada masa sama, harga saham Hartalega dan Kossan juga kembali kepada paras sebelum pandemik dengan masing-masing pada RM5.92 dan RM2.45 manakala imbangan tunai juga semakin kukuh," katanya.

 

Firma itu mendapati kedudukan tunai bersih bagi pemain industri sarung tangan di bawah liputannya adalah antara RM2.05 hingga RM4.71 bilion, meningkat dengan ketara berbanding paras sebelum pandemik dengan hutang bersih RM48 juta hingga RM2.22 bilion.

 

Menurut Seong Chun, keputusan kewangan Top Glove meleset daripada jangkaan kerana pendapatan tahun kewangan 2021 (FY21) sebanyak RM7.87 bilion merangkumi 92% daripada anggarannya dan  menyumbang 91% daripada ramalan konsensus.

 

"Kami mendapati kehilangan pendapatan ini disebabkan oleh penurunan ASP sarung tangan yang lebih cepat daripada jangkaan," tambahnya. 

 

Sebaliknya, beliau berkata, prestasi kewangan Hartalega bagi separuh pertama FY22 adalah memenuhi jangkaannya. 

 

Dengan merekodkan hasil sebanyak RM3.17 bilion, ia merangkumi 71% daripada anggaran firma dan 82% konsensus bagi unjuran FY22. 

 

"Dalam hal ini, kami menganggap pendapatan seperti dalam jangkaan kerana kami menjangkakan separuh kedua 2022 yang lebih lemah. 

 

"Malah, aliran penurunan ASP juga sedang berterusan dan akan menjejaskan pendapatan pada separuh kedua," jelas beliau.

 

Mengenai Kossan pula, meskipun merekodkan untung bersih bagi tempoh 9 bulan sebanyak RM2.63 bilion yang memenuhi jangkaannya, tetapi, ia menjangkakan prestasi suku keempat 2021 yang lebih lemah berikutan trend penurunan ASP. 

 

Secara keseluruhan, AmInvestment turut mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Top Glove, Hartalega dan Kossan dengan nilai saksama masing-masing pada RM2.60, RM6 dan RM2.55. 

 

Setakat 10.42 pagi ini, harga saham Hartalega susut 8 sen kepada RM5.75 manakala Kossan susut 9 sen kepada RM2.21 dan Top Glove susut 7 sen kepada RM2.33. - DagangNews.com