Dialog ada keupayaan raih lebih banyak kontrak baharu - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Dialog ada keupayaan raih lebih banyak kontrak baharu - MIDF Research

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Dis - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran pada RM3.80 sesaham terhadap Dialog Group Bhd. berikutan prospek jangka panjangnya yang kukuh.

 

Semalam, Dialog mengumumkan memperoleh kontrak yang dianggar bernilai RM360 juta menerusi anak syarikat milik penuhnya, Dialog E&C Sdn. Bhd. (DEC).

 

Ia menerima surat anugerah daripada Petronas Gas Bhd. bagi melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk Projek Penambahbaikan dan Ketersediaan Penghantaran Selatan (STAR) di Kluang, Johor.

 

Projek itu yang dijangka bermula Disember 2021 hingga suku pertama 2024 turut merangkumi EPCC bagi stesen kompresor penggalak baharu di Mengkibol, Kluang bersama kemudahan dan peralatan sokongan. 

 

Menurut MIDF Research, memandangkan Dialog memasuki tahun kewangan 2022 (FY22), perolehan projek baharu ini dijangka mempamerkan kemampanan, keupayaan dan kapasiti kumpulan untuk meraih lebih banyak kontrak dalam masa terdekat. 

 

Katanya, Dialog telah menunjukkan prestasi yang konsisten menerusi terminal tangki bukan kitaran dan operasi penyelenggaraan. 

 

"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran pendapatan Dialog bagi FY22 dan terus menyaksikan lebih banyak perolehan kontrak yang akan menjadi trajektori positif kepada prestasi kewangan kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu juga optimis dengan prospek jangka panjang Dialog setelah mengambil kira struktur perniagaan dan sumbangan kukuh menerusi Dialog Pengerang dan Terminal Tanjung Langsat.

 

"Dengan kemungkinan keseimbangan bekalan dan permintaan minyak mentah dan gas asli pada FY22, ia akan terus menyumbang kepada kontrak baharu untuk operasi dan penyelenggaraan loji.

 

"Kami menjangkakan prestasi kewangan Dialog akan terus berada pada sisi positif pada suku akan datang," jelasnya. 

 

Setakat 11.17 pagi ini, harga saham Dialog menokok 6 sen atau 2.47% kepada RM2.49 dengan 3.29 juta saham diniagakan. - DagangNews.com