Digital Nasional terima pakej pembiayaan modal RM400 juta | DagangNews Skip to main content

Digital Nasional terima pakej pembiayaan modal RM400 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Nov -  Digital Nasional Berhad (DNB) mengumumkan telah memperoleh pakej pembiayaan modal kerja sehingga RM400 juta daripada Deutsche Bank.

 

DNB berkata pakej itu terdiri daripada talian jaminan bank bernilai RM150 juta, yang akan dikeluarkan oleh Deutsche Bank AG, Cawangan Labuan, dan kemudahan kredit pusingan berjumlah RM250 juta, yang akan dilanjutkan oleh Deutsche Bank (Malaysia) Berhad atas dasar tidak terjamin. 

 

DNB diberi mandat oleh Kementerian Kewangan untuk menjadi parti neutral tunggal untuk melaksanakan penggunaan rangkaian dan infrastruktur 5G yang  di seluruh negara.

 

DNB berkata kemudahan itu akan memberikannya akses kepada pembiayaan jangka pendek untuk keperluan modal kerja, terutamanya untuk menyokong operasi harian syarikat dan perbelanjaan modal. 

 

"Pakej pembiayaan RM400 juta itu merupakan sebahagian daripada anggaran RM5 bilion jumlah kemudahan modal kerja yang diperlukan oleh DNB dalam jangka masa sekarang sehingga 2024, untuk melancarkan rangkaian 5G yang dirancang. 

 

"Kemudahan modal kerja ini akan dibiayai semula melalui Program Sukuk jangka panjang, bermula pada 2022," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sementara itu Ketua Pegawai Kewangan DNB Nik Azlan Aziz berkata ini adalah yang pertama daripada beberapa kemudahan serupa yang telah diaturkannya.

 

“Perbincangan dengan sektor swasta kelihatan memberangsangkan dan bank-bank turut memberikan sokongan.

 

"Pembiayaan RM400 juta dengan Deutsche Bank adalah bukti perkara ini," kata Nik Azlan. 

 

Ini susulan pengumuman awal baru-baru ini yang menyatakan bahawa United Overseas Bank (M) Bhd menyediakan tranche pertama pembiayaan dalam bentuk perjanjian pembelian penghutang (RPA) berjumlah RM800 juta kepada Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd, untuk melaksanakan fasa awal pelancaran 5G DNB di seluruh negara. 

 

Ericsson telah dilantik sebagai Pembekal Peralatan Rangkaian (DEB) pada 1 Julai 2021. - DagangNews.Com