DKSH jalin perkongsian strategik pasarkan produk farmaseutikal, peranti perubatan SciGen di Malaysia | DagangNews Skip to main content

DKSH jalin perkongsian strategik pasarkan produk farmaseutikal, peranti perubatan SciGen di Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jun - DKSH Holdings (Malaysia) Bhd menerusi unit perniagaan penjagaan kesihatannya menjalin kerjasama dengan SciGen bagi memasar serta mengkomersialkan produk farmaseutikal serta peranti perubatan bagi merawat penyakit endokrinologi dan onkologi di Malaysia.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan kerjasama kedua antara mereka selepas menjalin kerjasama awal di Vietnam.

 

Menerusi perjanjian itu, DKSH akan menyediakan perkhidmatan jualan, pemasaran lapangan, pengedaran, logistik serta kredit dan kutipan.

 

Kerjasama itu juga bertujuan memanfaatkan kepakaran khusus DKSH bagi meningkatkan ketersediaan dan pengedaran produk SciGen melalui pelbagai saluran, termasuk hospital swasta dan awam di Malaysia.

 

Naib Presiden dan Ketua Asia Pasifik di SciGen, Dr. Shazli Ahmed Khan berkata, pihaknya sedang meneroka peluang pengembangan di seluruh rantau Asia dengan tujuan Utama bagi meningkatkan akses kepada portfolio produk sedia ada dan akan datang.

 

"Malaysia memegang kepentingan strategik dalam operasi kami di Asia, dan kami komited untuk bekerjasama dengan entiti penjagaan kesihatan tempatan untuk mencapai objektif ini, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada pesakit di Malaysia. 

 

"Komitmen kami tetap teguh dalam menyediakan ubat-ubatan dan penyelesaian penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Ketua Pengurusan Negara dan Naib Presiden Penjagaan Kesihatan DKSH Malaysia, Sandeep Tewari berkata, kerjasama itu menekankan komitmen kami dalam menyediakan penjagaan kesihatan yang inovatif dan cemerlang .

 

"Kami berharap dapat memperkenalkan produk baru SciGen bagi memenuhi keperluan kritikal pesakit, selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperbaiki akses dan kualiti penjagaan kesihatan," katanya, - DagangNews.com