DPS, Mutiara jalin kerjasama bangunkan Hab Tenaga Hijau di Melaka | DagangNews Skip to main content

DPS, Mutiara jalin kerjasama bangunkan Hab Tenaga Hijau di Melaka

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - Syarikat tersenarai, DPS Resources Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya DPS Energy Sdn Bhd (DPSE), memasuki perjanjian usaha sama dengan Mutiara Mahajuta Sdn Bhd bagi membangunkan 170 hektar tanah di Alor Gajah, Melaka. 


Usaha kerjasama itu melibatkan projek inovatif perintis dalam pelancongan agro, tanaman, perladangan bio, tenaga boleh diperbaharui, ladang solar, dan akuaponik.


DPSE khusus dalam pembinaan dan pemasangan ladang solar, sistem fotovoltaik solar, pusat data kecerdasan buatan (AI), sistem penyimpanan tenaga bateri, turbin gas, loji janakuasa dan perkhidmatan tenaga hijau diterajui oleh Pengarah Eksekutif syarikat itu, Eugene Sow Chuan Sheng.


Mutiara pula memeterai perjanjian kerjasama dengan pemilik tanah individu dalam pembangunan komprehensif 3 fasa sepanjang 30 tahun, dengan pilihan lanjutan perjanjian itu untuk 15 tahun lagi.


DPSE, dalam kenyataan media hari ini berkata fasa pertama projek itu akan fokus pada aspek pembangunan tarikan pelancongan agro, penanaman tanaman, dan mewujudkan bio-ladang dan sistem akuaponik.


Fasa kedua pula, syarikat itu akan fokus pada tenaga boleh diperbaharui, terutamanya pembangunan ladang solar.


Semasa fasa ketiga, Mutiara akan menjalankan projek pembangunan bercampur, termasuk komponen kediaman, komersil dan perindustrian. 


Kata DPSE, tempoh projek tersebut ditetapkan antara 21 hingga 25 tahun, syarikat itu memegang hak pertama penolakan untuk pembangunan ladang solar selanjutnya atau projek penggunaan bercampur.


Di samping itu, peruntukkan keuntungan bersih pada nisbah 65% untuk DPSE dan 35% untuk Mutiara.


Pengerusi Eksekutif DPS Resources, Tan Sri Dr Sow Chin Chuan berkata, usaha kerjasa DPSE dan Mutiara merupakan langkah strategik bagi memanfaatkan kepakaran syarikatnya dalam tenaga hijau dan perkhidmatan kejuruteraan. 


“Projek ini sejajar dengan strategi pertumbuhan mampan sekaligus menyumbang kepada sasaran tenaga boleh diperbaharui Malaysia. 


“Kami komited untuk memacu inovasi dalam pelancongan agro dan tenaga boleh diperbaharui, memastikan pemegang kepentingan kami dan masyarakat manfaatkan projek itu pada jangka masa panjang,” ujarnya.


DPSE berkata usaha sama itu menekankan komitmen syarikat itu terhadap pembangunan mampan dan sejajar dengan matlamat negara untuk tenaga boleh diperbaharui dan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 


Katanya, Pasaran Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia diunjurkan berkembang dengan ketara, daripada 9.68 gigawatt (GW) pada 2023 kepada 12.04 GW menjelang 2028, peningkatan itu dipacu oleh peningkatan pelaburan dan peralihan negara ke arah tenaga boleh diperbaharui.


Pada masa yang sama, projek itu juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan, menyumbang kepada keselamatan makanan negara, dan mengurangkan jejak karbon kumpulan, sejajar dengan perspektif ESG. - DagangNews.com