Dua individu didenda hingga RM27,000 jual kotak TV dengan pra kandungan Astro | DagangNews Skip to main content

Dua individu didenda hingga RM27,000 jual kotak TV dengan pra kandungan Astro

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Nov - Mahkamah Sesyen Johor Bahru mendakwa dan mendenda seorang individu, Lee Ah Moy kerana menjual kotak TV pra kandungan Astro yang tidak dibenarkan di bawah Seksyen 43AA (1)(c) Akta Hak Cipta 1987. 

 

Individu yang berusia 66 tahun itu didenda RM16,000 dan jika gagal membayarnya akan dikenakan tiga bulan penjara.

 

Kesalahan itu dilakukan pada 3 November tahun lepas di sebuah kedai runcit di Johor Bahru yang mana dua buah kotak TV dengan kandungan tidak dibenarkan ditemui semasa serbuan.

 

Dalam kes berasingan, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya baru-baru ini mendakwa seorang lagi individu, Yee Kwai Weng atas kesalahan sama dan didenda RM11,000 atau jika ingkar, akan dikenakan tiga bulan penjara.

 

Kesalahan itu dilakukan pada 23 Mei lalu di sebuah kedai runcit di Puchong yang mana sebuah kotak TV dengan kandungan yang tidak dibenarkan ditemui semasa serbuan.

 

Awal tahun ini, seramai tujuh individu didakwa dan didenda atas kesalahan sama di bawah Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022, yang telah diwartakan pada 10 Februari 2022. 

 

Penguatkuasaan undang-undang telah dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 18 Mac 2022.

 

Impak utama pindaan itu ialah penjenayah penjualan peranti penstriman haram (ISD) dan aplikasi perisian berkaitan yang membenarkan akses tanpa kebenaran kepada kandungan hak cipta.

 

Sesiapa yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM200,000, penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

 

Pindaan kepada Akta Hak Cipta berikutan pengisytiharan oleh Mahkamah Tinggi Harta Intelek Kuala Lumpur pada Mei 2021 bahawa penjualan, tawaran untuk penjualan, pengedaran dan/atau pembekalan ISD yang boleh memberikan akses tanpa kebenaran kepada karya berhak cipta, merupakan pelanggaran hak cipta di bawah Akta Hak Cipta 1987. - DagangNews.com