DUN Sarawak luluskan RUU definisi `penduduk negeri’ | DagangNews Skip to main content

DUN Sarawak luluskan RUU definisi `penduduk negeri’

 

KUCHING 12 Nov. – Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan rang undang-undang bagi meminda perlembagaan negeri bagi mendifinisikan semula makna `penduduk negeri’, selain menurunkan usia kelayakan bertanding dalam pilihan raya negeri dari 21 tahun kepada 18 tahun.

 

Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2020 telah diluluskan menerusi undi majoriti selepas bacaan ketiga diadakan.

 

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Abdul Karim Rahman Hamzah, yang membentangkan rang undang-undang tersebut menjelaskan, hanya rakyat yang lahir di Sarawak dan rakyat Sarawak yang lahir di negeri luar (seorang daripada ibu bapanya, hendaklah lahir di Sarawak) dan menetap di negeri ini, layak untuk bertanding di dalam pilihan raya negeri.

 

“Dengan kelulusan rang undang-undang ini, orang yang tiada kaitan dengan Sarawak sama ada dilahirkan atau kedua-dua ibu bapanya juga bukan dilahirkan di sini serta lazimnya tidak menetap di Sarawak, adalah tidak layak,” ujarnya.

 

Karim berkata, istilah “lazimnya menetap” secara perundangan bermaksud “tinggal dalam satu tempoh berterusan dan selain daripada ketiadaan sementara atau kemalangan”.

 

“Tempoh berterusan itu seharusnya dipamerkan, misalnya dengan memiliki rumah, keluarga atau tempat kerja di Sarawak.

 

“Oleh itu, orang yang lahir di Sarawak tidak akan layak bertanding pilihan raya selepas pindaan ini jika dia sudah menjadi penduduk tetap di negeri luar atau menetap di negeri luar atau negara asing seperti Australia,” ujarnya.

 

aaa
Abdul Karim Rahman Hamzah

 

Menurut beliau, pihaknya menarik balik rang undang-undang itu pada Isnin lalu supaya orang ramai tidak terkeliru dengan dakwaan pembangkang mengenai maksud dan matlamat sebenar pindaan yang dilakukan terhadap Artikel 16 Perlembagaan Negeri Sarawak itu.

 

“Saya membentangkan rang undang-undang baharu hari ini, yang menyingkirkan kekaburan mengenai definisi `penduduk’ di negeri ini,” ujar beliau.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri bimbang bahawa berdasarkan tafisran perundangan sebelum ini, sesiapa sahaja bukan anak Sarawak dari negeri lain, tinggal di negeri ini atas alasan memiliki permit kerja, atau berkhidmat di dalam sektor awam persekutuan, di dalam pasukan polis atau tentera, akan layak untuk bertanding di dalam pilihan raya negeri.

 

“Kami tidak mahu orang luar Sarawak untuk campur tangan di dalam urusan kita dan memainkan sebarang peranan di dalam menentukan masa hadapan negeri kita.

 

“Dasar kita adalah memastikan kepentingan Sarawak dikawal selia oleh anak Sarawak dan orang luar tidak seharusnya datang bersama jenis politik mereka untuk mengkucar-kacirkan negeri dan menjejaskan keharmonian serta kebersatuan rakyat negeri ini.

 

“Kami juga mahu mengelakkan kemungkinan penyusupan oleh bukan anak Sarawak dan mereka yang bukan menetap di Sarawak daripada menjadi calon pilihan raya untuk menyertai DUN dan mendakwa mewakili rakyat Sarawak,” kata beliau. – DagangNews.com