Duopharma Biotech fokus kepada proses pendigitalan kumpulan | DagangNews Skip to main content

Duopharma Biotech fokus kepada proses pendigitalan kumpulan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jun - Duopharma Biotech Berhad sedang meningkatkan fokus kepada usaha mendigitalkan syarikat itu pada masa akan datang.

 

Pengarah Urusan kumpulan, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, Strategi Kesihatan Digital telah dibentuk bagi mengenal pasti peluang yang akan membenarkan mereka menyediakan penyelesaian terbaik di sepanjang rantaian nilai penjagaan kesihatan. 

 

"Sebuah Badan Bertindak yang terdiri daripada sembilan ahli daripada Jabatan Strategi, Pemasaran, Teknologi Maklumat, Hal Ehwal Kawal Selia, Komersial, Penjagaan Kesihatan Konsumer dan Hal Ehwal Klinikal diwujudkan bagi menyelia pelaksanaan strategi berkenaan. 

 

"Berdasarkan penglibatan awal dalam bidang penjagaan kesihatan digital menerusi pelaburan dalam Naluri Hidup Sdn. Bhd., kumpulan kini bekerjasama dengan Naluri untuk menawarkan aplikasi khusus kepada pesakit kanser dan buah pinggang. 

 

"Aplikasi tersebut akan membantu mereka meningkatkan keupayaan menguruskan rawatan bagi penyakit yang dihadapi dan pada masa sama menerima sokongan emosi daripada pakar-pakar terapi," katanya dalam satu kenyataan, selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-21, hari ini.  

 

Kumpulan itu berjaya mencatatkan kenaikan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 15% kepada RM26.65 juta bagi 1QFY22 dan pada masa sama mencatat perolehan sebanyak RM185.94 juta.

 

duopharma
Leonard Ariff Abdul Shatar (tengah) selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 Duopharma Biotech.

 

Pada 2021, kumpulan itu mencatatkan PBT sebanyak RM82.98 juta atau kenaikan sebanyak 9% berbanding tahun sebelumnya dengan perolehan sebanyak RM639.18 juta. 

 

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada rancangan untuk memperluaskan sayap perniagaan menerusi pelbagai saluran termasuk penyatuan dan pengambilalihan, pihaknya mengenal pasti sejumlah syarikat tempatan dan antarabangsa untuk penilaian sebelum memuktamadkannya pada tahun 2022.

 

Sementara itu, Pengerusi kumpulan, Tan Sri Siti Sa'diah Sh Bakir berkata, pada 2021 kumpulan itu telah memulakan pembangunan Strategi amalan Alam Sekitar, Soial dan Urus Tadbir (ESG) untuk lima tahun sehingga 2026 dan pada Mac 2022, pihaknya mengumumkan ikrar alam sekitar syarikat sejajar dengan pelan ESG.

 

Beliau berkata, inisiatif-inisiatif berkaitan Strategi ESG akan dimulakan tahun ini bagi pelaksanaan berdasarkan strategi tersebut. 

 

"Antara langkah yang diambil termasuk komitmen Duopharma Biotech mencapai neutral karbon menjelang tahun 2030 dan pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

 

"Satu proses pengurusan dan perakaunan gas rumah hijau telah dimulakan bagi mengurangkan pelepasan gas tersebut di peringkat kumpulan," katanya. - DagangNews.com