Duopharma kekal berhati-hati terhadap pemulihan produk penjagaan kesihatan bagi 4QFY23 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Duopharma kekal berhati-hati terhadap pemulihan produk penjagaan kesihatan bagi 4QFY23 - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Berdasarkan tinjauan pasaran semasa, Duopharma Biotech Berhad kekal berhati-hati terhadap pemulihan permintaan produk penjagaan kesihatan bagi 4QFY23.

 

AmInvestment Bank Research berkata, kumpulan itu bagaimanpun memberi panduan bahawa trajektori hasil dan keuntungan 4QFY23 seharusnya setanding 2QFY23 dan 3QFY23 kerana Kementerian Kesihatan tidak banyak berbelanja untuk perolehan perubatan menjelang penutup tahun kewangan. 

 

Katanya, sektor awam menyumbang 45% daripada hasil bagi 9MFY23.

 

"Kami mengurangkan unjuran pendapatan teras FY23 sebanyak 3% selepas mengambil kira penjimatan cukai yang lebih rendah sebanyak RM 8 juta pada 4QFY23.

 

"Bagaimanapun, kami meningkatkan unjuran pendapatan FY24 sebanyak 2% selepas mengambil kira baki penjimatan cukai RM2 juta yang dibawa tahun hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, firma penyelidkan itu berkata, kilang K1 di Klang akan ditetapkan sebagai kemudahan pengilangan untuk ubat khusus manakala penisilin, yang diperlukan oleh Kementerian Kesihatan bagi dihasilkan secara bersendirian.

 

Katanya, barisan pengeluaran K1 (selain Penisilin) akan dipindahkan ke K3 menjelang akhir FY24. 

 

"Bagi meminimumkan kawasan kosong di K1, bangunan yang tinggal akan dirobohkan dan struktur gantian dibina bagi menampung badrisan pengeluaran masa hadapan," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) lebih tinggi iaitu RM1.52 berbanding RM1.49 sebelum ini. - DagangNews.com