EATech tarik balik pelan penyusunan semula selepas perjanjian langganan saham dibatalkan | DagangNews Skip to main content

EATech tarik balik pelan penyusunan semula selepas perjanjian langganan saham dibatalkan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Julai - Syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17), EA Technique (M) Bhd (EATech) telah menarik balik pelan penyusunan semula yang telah dikemukakannya kepada Bursa Securities pada April.

 

Ini berlaku selepas syarikat tersebut bersetuju untuk sama-sama menamatkan perjanjian langganan saham yang dimeterainya pada Mac dengan Eco Offshore Services Sdn Bhd dan dua individu, Tan Sri Abdul Halim Ali dan Khiruddin Ibrahim Said.

 

“Syarikat akan terlibat dalam perbincangan dengan bakal pelabur dan mengemukakan permohonan pelan penyusunan semula baharu kepada Bursa Securities dalam masa terdekat.

 

“Pengumuman lanjut mengenai cadangan pelan penyusunan baharu akan dibuat mengikut dan apabila sesuai," kata syarikat kapal tangki minyak dan penyedia perkhidmatan marin pelabuhan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

 

Eco Offshore Services merupakan syarikat pelaburan milik pengasas bersama Eco World Development Group Bhd, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Manaf.

 

Abdul Rashid sepatutnya jadi pemegang saham yang mengawal EATech, dengan 53% pegangan sekiranya perjanjian langganan telah menjadi kenyataan.

 

EATech telah terperosok ke status PN17 pada Februari 2022 kerana ekuiti pemegang sahamnya sebanyak RM5.96 juta pada 31 Disember 2021 adalah kurang 50% daripada modal sahamnya RM179.76 juta.

 

Bursa Securities telah memberikan EATech lanjutan enam bulan sehingga 24 Ogos untuk mengemukakan pelan penyusunan semulanya.

 

EATech berkata penarikan balik permohonan pelan penyusunan semula tidak akan menjejas skim penyusunan yang telah dilaksanakannya pada Disember 2022 kerana syarikat mempunyai masa sehingga 11 Julai 2024 untuk membuat pembayaran kepada pemiutang skim.

 

"Bagi mengelak keraguan, EATech telah memperoleh sekatan Mahkamah Tinggi untuk skim penyusunan pada 4 Januari, yang diserah simpan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 12 Januari," jelasnya.

 

Pada waktu penulisan, saham EATech didagangkan tidak berubah pada 16 sen, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM84.9 juta.  - DagangNews.com