Edelteq sasar jana RM24 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Edelteq sasar jana RM24 juta daripada IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mei - Edelteq Holdings Berhad yang bakal disenaraikan sahamnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia telah menyasarkan untuk menjana sebanyak RM24 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

 

Dana tersebut akan digunakan dalam pengembangan strategik, di mana RM3.7 juta diperuntukkan bagi pembinaan kilang baharu di Batu Kawan dan RM3.1 juta untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

 

Syarikat pembekal sokongan kejuruteraan untuk pemasangan litar bersepadu (IC) dan proses ujian dalam industri semikonduktor itu juga akan menggunakan RM3.4 juta untuk modal kerja, RM10.3 juta bagi membayar balik pinjaman bank dan baki RM3.6 juta membayar perbelanjaan penyenaraian.

 

Pada pelancaran prospektus IPO hari ini, kumpulan itu berkata pelaksaan IPO merangkumi penerbitan awam sebanyak 100 juta saham baharu mewakili 18.8% daripada modal saham yang diperbesarkan serta tawaran penjualan 43.2 juta saham sedia ada, mewakili 8.1% daripada saham yang diperbesarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Daripada 100 juta saham baharu, 26.6 juta akan disediakan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian; 10 juta saham kepada kakitangan yang layak dan penyumbang kepada kejayaan kumpulan, manakala baki 63.4 juta saham dikhaskan untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Berdasarkan harga terbitan RM0.24 sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 532.5 juta saham, Edelteq akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM127.81 juta selepas penyenaraian.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Edelteq, Chin Yong Keong berkata penyenaraian IPO adalah bahagian penting dalam rancangan pertumbuhan di samping mengembangkan operasi kumpulan untuk memanfaatkan prospek yang sedang muncul dalam industri semikonduktor.

 

“Dengan dana yang diperoleh daripada IPO, kami akan dapat menaikkan keupayaan serta menambah portfolio produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, sekali gus meningkatkan daya saing dan bahagian pasaran kumpulan,” tambahnya.

 

Mengulas mengenai rancangan masa depan kumpulan, Yong Keong berkata mereka sedang mengembangkan kapasiti pengeluaran dengan pembinaan kilang baharu di Batu Kawan, Pulau Pinang yang dijangka beroperasi pada Mac 2024.

 

“Melangkah ke hadapan, kami akan membangunkan produk dan perkhidmatan baharu untuk peralatan ujian automatik (ATE) serta pemasangan IC dan bahan guna ujian kami,” tambahnya.

 

UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO.

 

Permohonan untuk IPO tersebut akan ditutup pada 17 Mei 2023 jam 5 petang dan Edelteq dijadualkan tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 30 Mei 2023. -DagangNews.com