Ekonomi Malaysia suku kedua diunjur berkembang melebihi 8% | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia suku kedua diunjur berkembang melebihi 8%

Di sebalik unjuran kukuh suku kedua, terdapat beberapa faktor perlu diperhatikan antaranya, peningkatan kos sara hidup akan menjejaskan perbelanjaan pengguna. - Gambar : Ravin Rau/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Ekonomi Malaysia pada suku kedua 2022 dijangka berkembang lebih kukuh melebihi 8% terutamanya dipacu peralihan negara kepada fasa endemik dan sokongan fiskal. 

 

Ketua Ekonomi CGS-CIMB Research, Nazmi Idrus berkata, data terkini mengenai ekonomi Malaysia, yang meliputi hampir 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mencadangkan pengembangan sebanyak 8.5% tahun ke tahun pada suku kedua, meningkat daripada 5% pada suku sebelumnya.

 

Menurutnya, sektor perkhidmatan akan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu utama pertumbuhan pada suku berkenaan apabila negara beralih aktiviti ekonomi kembali normal terutamanya berkaitan pelancongan susulan peralihan negara kepada fasa endemik dan pembukaan semula sempadan.

 

"Selain itu, sokongan dasar terutamanya pengeluaran RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meningkatkan kuasa perbelanjaan pengguna. 

 

"Ia juga dipengaruhi kesan asas yang rendah apabila perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dilaksanakan pada Mei 2021, meningkatkan beberapa petunjuk pada suku kedua ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan data KDNK bagi suku kedua 2022, pada Jumaat ini.

 

Pada Julai lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, prestasi ekonomi negara dilihat beransur pulih dan mula mengembang berdasarkan pelbagai indikator termasuk data terkini bagi Mei 2022.

 

Ini mencerminkan perkembangan yang memberangsangkan serta menunjukkan bahawa pertumbuhan KDNK pada suku kedua tahun ini akan terus diperkukuhkan.

 

Menurut Nazmi, pertumbuhan prestasi KDNK suku kedua yang kukuh mungkin berterusan sehingga suku ketiga dengan mengambil kira kesan asas yang rendah berlarutan.

 

Jelasnya, tanpa kesan asas, momentum asas ekonomi mungkin akan menjadi lebih perlahan apabila permintaan terpendam hilang.

 

"Oleh itu, kami masih berpendapat, BNM akan terus melaksanakan kitaran normalisasi dengan kenaikan 25 mata asas pada mesyuaratnya, 8 September ini. 

 

"Ia akan menyaksikan kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan kepada 2.50% menjelang akhir tahun ini," katanya.

 

Namun, beliau mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2022 pada 6.2% manakala 5% bagi 2023 sementara menantikan pengumuman data suku kedua.

 

 

gambar hiasan

 

 

Sementara itu, Ketua Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass mengunjurkan ekonomi pada suku kedua akan berkembang pada 8.4% berbanding anggaran konsensus, 6.9%. 

 

Bagaimanapun, di sebalik unjuran kukuh itu, beliau masih berhati-hati terhadap beberapa faktor yang perlu diperhatikan pada masa hadapan. 

 

Antaranya termasuklah peningkatan kos sara hidup akan menjejaskan perbelanjaan pengguna, ketidaktentuan luaran ekoran pertumbuhan dan perdagangan global yang perlahan dan gangguan rantaian bekalan serta kos pengangkutan dan harga komoditi yang tinggi.

 

"Selain itu, ia turut dipengaruhi masalah buruh menyebabkan kehilangan peluang yang lebih besar ditambah dengan kekurangan bakat, ketegangan geopolitik di Ukraine yang masih berterusan dan kini pula berlaku konflik antara China dan Taiwan.

 

"Dengan mengambil kira semua faktor ini, kami mengekalkan unjuran KDNK tahun ini pada 5.6%," katanya. -DagangNews.com