Ekonomi suku pertama dijangka catat pertumbuhan - AmBank | DagangNews Skip to main content

Ekonomi suku pertama dijangka catat pertumbuhan - AmBank

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Ekonomi suku pertama 2021 dijangka mencatatkan pertumbuhan di sebalik pelaksanaan semula perintah sekatan pergerakan (PKP), menurut AmBank Research. 

 

Firma itu mengunjurkan ia akan berkembang 0.7% tahun ke tahun dan mungkin melepasi paras 1.% dengan mencecah 1.2%.

 

Data suku pertama, katanya disokong oleh prestasi eksport yang kukuh berkembang 18.2% tahun ke tahun.

 

"Walaupun PKP 2.0 memberi kesan buruk terutama kepada sektor perkhidmatan, tetapi impaknya kepada ekonomi tidaklah seteruk PKP 1.0. 

 

"Ini kerana sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bank Negara Malaysia hari ini akan mengumumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

AmBank Research berkata, ekonomi di peringkat domestik dijangka terus mencatat pemulihan dan diunjur 6% tahun ini.

 

Namun, ia bergantung kepada pelancaran vaksin COVID-19 dan sejauh mana kaedah menangani wabak ini yang akan mempengaruhi pertumbuhan di dalam dan luar negara.

 

"Selain itu, ia juga disokong oleh pertumbuhan kukuh perdagangan, permintaan tinggi bagi barang pembuatan, harga komoditi yang tinggi, pengembangan modal dan faedah daripada langkah-langkah rangsangan ekonomi," jelasnya.

 

Dalam masa sama, firma itu turut mengambil kira situasi semasa pandemik dan pelancaran vaksin yang akan menyaksikan unjuran terendah pada tahap 5% manakala tertinggi pada 7%. - DagangNews.com