Eksesais Gempur uji kecekapan atur gerak cepat Briged Para | DagangNews Skip to main content

Eksesais Gempur uji kecekapan atur gerak cepat Briged Para

Pesawat EC725 menurunkan anggota Briged Para semasa Eks Gempur.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 16 Feb - Peranan pasukan atur gerak cepat (PAC) Tentera Darat sentiasa diberi perhatian menerusi pelaksanaan eksesais secara berterusan.

 

Ini bagi menajamkan lagi kemahiran selain menguji kelengkapan.

 

Sebagai barisan hadapan pertahanan negara, pasukan atur gerak cepat perlu dilengkapkan dengan aset-aset dan persenjataan yang relevan agar tidak ketinggalan.

 

Terbaru, Eksesais Gempur IX 2.0 (EGIX 2.0) telah dilaksanakan di tapak latihan atur gerak bersepadu Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

 

Latihan
Eks Gempur menguji kemahiran anggota 10 Briged Para.

 

Latihan melibatkan 25 pegawai dan 355 anggota Briged Ke-10 Para termasuk aset-aset sokongan seperti kenderaan perisai MIFV dan kenderaan bersenjata Uro Vamtac.

 

Kenderaan perisai MIFV dikendalikan oleh Skuadron Armor Para.

 

Eksesais ini berkonsepkan serbuan operasi khusus bertujuan menguji semua peringkat termasuk fungsi markas Batalion sebagai staf perancang dan kompeni tempur sebagai pelaksana.

 

Latihan bersepadu ini bagi mengekalkan kompetensi 10 Bgd (Para) yang merupakan komponen utama Tentera Darat dalam PAC Angkatan Tentera Malaysia.

 

Latihan

 

Latihan

 

Ia dilaksanakan dalam 4 fasa iaitu persiapan, fasa prosedur tempur, latihan medan dan penilaian yang menekankan peranan dan atur gerak elemen pasukan atur gerak cepat.

 

Fasa serangan akhir telah disinergikan dengan penembakan menggunakan peluru hidup dan atur gerak kenderaan tempur melibatkan gabungan dalam elemen 10 Briged Para.

 

Eksesais turut dibantu dengan penyertaan platun dari Batalion ke-14 RAMD (Mekanize) serta bantuan pesawat EC725 dari No 10 Skn TUDM dalam menjayakan latihan direncanakan. 

 

Memandangkan Skuadron Armor Para briged ini dibekalkan dengan kenderaan MIFV sejak tiga tahun lalu bagi penggunaan sementara, sepatutnya pemilihan kenderaan yang lebih sesuai diputuskan.

 

Latihan
Kenderaan perisai MIFV perlu digantikan dengan kereta kebal ringan bagi kegunaan Skuadron Armor Para.

 

Ini kerana fungsi Skuadron Armor Para dalam pasukan atur gerak cepat memerlukan kenderaan armor yang mempunyai kuasa tembakan lebih padu selain ringan.

 

Pilihan yang bagus adalah kereta kebal ringan dan Tentera Darat wajar membuat perkiraan awal untuk mendapatkan kenderaan sedemikian. - DagangNews.com