Eksport kukuh kurangkan risiko penurunan permintaan domestik Malaysia | DagangNews Skip to main content

Eksport kukuh kurangkan risiko penurunan permintaan domestik Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Mei - Prestasi eksport Malaysia yang kukuh pada April 2021 dijangka dapat mengurangkan risiko penurunan permintaan domestik ekoran sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan ketika ini bagi mengekang penularan COVID-19. 

 

MIDF Research menjangkakan kadar eksport negara akan terus meningkat dalam tempoh beberapa bulan ini kerana kesan asas yang rendah pada tahun lalu, sebelum menjadi sederhana pada separuh kedua 2021 (2H21).

 

“Kami kekal berhati-hati terhadap lonjakan semula kes COVID-19 di beberapa negara utama seperti Taiwan, Jepun, Korea Selatan, India, Thailand dan Vietnam yang akan menjejaskan permintaan eksport negara pada masa akan datang,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajiannya hari ini. 

 

Eksport Malaysia bagi bulan lalu melebihi RM100 bilion untuk dua bulan berturut-turut sebanyak RM105.62 bilion, lonjakan 63% berbanding bulan sama pada tahun 2020.

 

Ini merupakan pertumbuhan terpantas direkodkan sejak Februari 1998 dan kenaikan tahun ke tahun (y-o-y) yang ke lapan bulan berturut-turut sejak September 2020.

 

Dalam pada itu, MIDF mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport dan import, masing-masing sebanyak 13.5% dan 12.7%. 

 

Tambah firma penyelidikan itu, prestasi perdagangan Malaysia dijangka melonjak semula pada tahun ini, meneruskan momentum kukuh sejak 2H20 susulan aktiviti di peringkat global yang berjalan semula dipacu rantaian bekalan yang kembali normal. 

 

“Malaysia menerima manfaat daripada pemulihan kukuh dari rakan perdagangan utama, terutamanya China dan Amerika Syarikat (AS), dibuktikan dengan eksport yang berterusan ke kedua-dua negara,” jelas MIDF lanjut. 

 

Katanya lagi, pengedaran vaksin dengan sokongan fiskal dan monetari kukuh di ekonomi-ekonomi utama akan melonjakkan permintaan dari dalam negara.

 

Minat pelaburan juga dijangka bertambah baik, didorong oleh ketersediaan vaksin yang lebih jelas. 

 

Sebagai rekod, purata pertumbuhan eksport dan import bagi empat bulan pertama tahun ini, masing-masing melonjak sebanyak 27.8% dan 14.3% berbanding tempoh sama tahun lalu. - DagangNews.com