ENRA jual ENRA Kimia bernilai RM50 juta kepada Hextar Global, Ekopintar | DagangNews Skip to main content

ENRA jual ENRA Kimia bernilai RM50 juta kepada Hextar Global, Ekopintar

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - ENRA Group Berhad bakal melupuskan 100% kepentingan ekuiti di dalam ENRA Kimia Sdn Bhd kepada Ekopintar Sdn. Bhd. (Ekopintar) dan Hextar Global Berhad dengan nilai keseluruhan RM50 juta. 

 

Ini selepas kumpulan menerusi anak syarikat milik penuhnya, ENRA Energy Sdn Bhd menandatangani Perjanjian Jual dan Beli Saham (SSA) kepada kedua-dua pembeli tersebut pada hari ini, 2 Ogos 2021. 

 

“Cadangan Pelupusan itu dianggap sebagai urus niaga pihak berkaitan kerana kepentingan salah seorang pengarah ENRA di dalam Cadangan Pelupusan tersebut, seperti mana diterangkan pada Seksyen 9 pengumuman ini. 

 

“Sehubungan itu, QuantePhi Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai penasihat bebas kepada pengarah dan pemegang saham yang tidak mempunyai kepentingan terhadap ENRA bagi Cadangan Pelupusan itu, dan sama ada pemegang saham ENRA tanpa kepentingan perlu mengundi bagi Pelupusan Cadangan,” jelas ENRA dalam maklumannya di Bursa Malaysia. 

 

Pada 23 Julai lalu, ENRA mengumumkan bahawa kumpulan telah menerima tawaran Ekopintar dan Hextar Global untuk mengambil alih kesemua kepentingan di dalam ENRA Kimia yang dipegang oleh ENRA Energy. 

 

Ini melibatkan pelupusan 51% kepentingan kepada Ekopintar bernilai RM25.5 juta dan 49% kepentingan kepada Hextar Global bernilai RM24.5 juta.

 

Kumpulan menjangkakan pelupusan kepentingan itu bakal mendatangkan keuntungan kira-kira RM19.66 juta di mana Ahli Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan ENRA berhasrat untuk menggunakan hasil itu bagi mengembangkan perniagaan semasa kumpulan. 

 

Ini melibatkan pembangunan dan pelaburan hartanah, penyelesaian pemunggahan simpanan terapung serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih. 

 

Selain itu, hasil daripada pelupusan itu juga bertujuan menyokong modal bekerja kumpulan, pengisytiharan dividen khas yang berjumlah tidak lebih daripada RM10 juta, bayaran balik pinjaman dan menentukan anggaran perbelanjaan untuk Cadangan Pelupusan itu.

 

ENRA Kimia telah ditubuhkan di Malaysia sebagai syarikat persendirian berhad di bawah nama Sudut Perangsang Sdn. Bhd. pada 5 Februari 2015 dan kemudiannya ditukar kepada nama terkini pada 25 Jun 2015. - DagangNews.com