KUALA LUMPUR 28 Okt – EP Manufacturing Berhad (EPMB), syarikat yang tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia yang terlibat terutamanya dalam automotif dan kejuruteraan, telah mengumumkan pelantikan dua pengarah baharu dalam Lembaga Pengarah selaras dengan hasrat Kumpulan untuk melaksanakan agenda perniagaan baharu bagi memulihkan prospek syarikat.
Dua pengarah baharu adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Derek Cheng Sheng dan Pengarah Eksekutif, Mac Ho Kok Wei.
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, walaupun menghadapi cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini yang mencetuskan pandemik global, Kumpulan yakin bahawa perniagaan semasa akan kekal berdaya tahan untuk tempoh jangka panjang.
Bagaimanapun ujar beliau, syarikat terus melihat peluang masa depan selepas pandemik dan memutuskan bahawa sekarang adalah masa sesuai untuk meraih peluang inovasi menjangkaui rantaian nilai automotif tradisional.
“Visi kumpulan bagi tempoh jangka pendek adalah untuk meraih tahap kecekapan dan keuntungan yang lebih baik dengan mengikuti trend yang dipacu teknologi.
''Peluang baharu dalam industri automotif sedang menanti kerana EPMB sudah memiliki bahan binaan dan infrastruktur.
''Kami teruja untuk memulakan fasa pertumbuhan baharu ini dengan pelantikan pengarah yang akan membawa bersama pelbagai pengalaman, rangkaian dan pencapaian,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu, Derek Cheng Sheng, yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam perkhidmatan kewangan, pelaburan dan pengurusan korporat ketika ini adalah Penasihat Kanan kepada Blackstone Group (HK) Limited.
Sebelum khidmatnya bersama Blackstone, Cheng berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Pengurusan dan Penolong Ketua Pegawai Eksekutif China Resources Capital Holdings Co., Ltd, unit perkhidmatan kewangan China Resources Group, sebuah konglomerat bernilai trilion dolar Hong Kong yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan pusat Republik Rakyat China.
Beberapa pencapaian utama Cheng termasuk memperhalusi dan mengembangkan strategi perniagaan selaras dengan persekitaran pelaburan China yang berubah dengan pantas, memanfaatkan pengetahuan industri yang mendalam dan rangkaian perniagaan yang meluas untuk menentukan bidang pelaburan utama, mengetuai pelaksanaan pelaburan M&A dalam pelbagai industri, termasuk antara lain meningkatkan dana pelaburan berbilion dolar dengan memberi tumpuan kepada Asia Pasifik.
Pengarah Eksekutif, Mac Ho Kok Wei telah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan ASEAN untuk HKFAEx Group Limited sejak 2020 di mana beliau bertanggungjawab terutamanya untuk mengembangkan perniagaan syarikat itu ke Asia Tenggara, dan CEO SSH Capital Holdings Sdn Bhd, berperanan dalam pembangunan perniagaan, pelaburan dan aktiviti korporat. Sebahagian besar kerjayanya sebelum ini, Ho terlibat terutamanya dalam pembangunan hartanah dan pelaburan.
Sementara itu, EPMB dalam kenyataan berasingan berkata Kumpulan itu telah menubuhkan pejabat satelit di China untuk membantu penyumberan dan mengenalpasti peluang kerjasama dengan pembekal Tahap 1 di China. Bagi menerajui usaha ini, Kumpulan telah melantik Pengarah dan Ketua Negara bagi China Encik Marcus Goh Kee Lun.
“Goh, seorang rakyat Malaysia yang sudah menetap di China selama lebih sedekad, akan membantu menempatkan kedudukan kami di China dan mengembangkan rangkaian perniagaan.
''Rangkaian matang dan kredibilitinya di luar negara digabungkan dengan pemahaman tentang kepentingan kami akan membolehkan EPMB mengadakan rundingan berpotensi dan kerjasama dengan rakan niaga di sana,” kata Hamidon.
Pengarah dan Ketua Negara bagi China yang baru dilantik, Marcus Goh Kee Lun memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di HKICEx Limited, Pengarah Urusan China HKFAEx Group Limited serta Pengurus Dana merangkap Rakan Kongsi dalam CIS Pride Fund, yang mana kesemuanya berurusan terutamanya dengan pengurusan aset kewangan. Di Malaysia, Goh juga adalah Pengarah SSH Capital Sdn Bhd, yang merupakan syarikat pelaburan hartanah.
Beliau aktif dalam pertukaran aset kewangan dalam pembangunan perniagaan dan perancangan strategik untuk China dan Asia Tenggara bersandarkan kepada pengalaman kerjanya di pelbagai negara dan pengalaman berurusan dengan pasaran kewangan.
Sebelum ini, beliau yang turut memiliki pengalaman hampir lapan tahun dalam firma perakaunan Big 4 di Malaysia dan China, menyertai projek IPO besar syarikat milik China seperti China Communications Construction Company (CCCC) dan China Railway Construction Company (CRCC). – DagangNews.com