ETCM, TCEAS panggil semula model Nissan X-Trail 2.0L Hybrid | DagangNews Skip to main content

ETCM, TCEAS panggil semula model Nissan X-Trail 2.0L Hybrid

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Dis - Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) bersama Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn. Bhd. (TCEAS), mengumumkan kempen memanggil balik secara sukarela model Nissan X-Trail 2.0L Hybrid bagi meningkatkan abah-abah ruang enjin rangkaian kuasa hibrid.

 

Model yang terbabit dalam program panggilan balik sukarela itu merangkumi Nissan X-Trail 2.0L HYBRID (kod model T32) keluaran Jun 2018 hingga Mei 2021.

 

Menurut ETCM, isu yang dikenal pasti membabitkan abah-abah ruang enjin adalah kemungkinan rangkaian kuasa hibrid rosak akibat gangguan pada tepi enjin atau pendakap modul kawalan transmisi.

 

Pelanggan Nissan X-Trail 2.0L Hybrid yang terjejas akan dimaklumkan oleh TCEAS secara terus menerusi surat, whatsapp selain dinasihat untuk menghubungi cawangan berdekatan untuk temu janji. 

 

"Sekiranya kenderaan sudah bertukar pemilik, pemilik terkini diingatkan untuk membuat temu janji di cawangan TCEAS berhampiran. Tiada sebarang kos akan dikenakan kepada pemilik ke atas semua kerja dan peningkatan komponen yang dibuat dalam kempen ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebahagian TCEAS melanjutkan operasi harian mereka dan dibuka sepanjang 365 hari setahun, bagi memudahkan pelanggan untuk melakukan proses penyelenggaraan semasa hujung minggu atau cuti umum.

 

ETCM dan TCEAS memohon maaf terhadap masalah yang berlaku dan berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik dalam menjamin keselamatan pengguna.

 

Bagi mendapatkan maklumat lanjut pemilik kenderaan boleh menghungi Talian Khidmat Pelanggan Nissan di 1800-88-3838. - DagangNews.com