Etiqa umum pelantikan Fauziah Hisham sebagai Pengerusi wanita pertama | DagangNews Skip to main content

Etiqa umum pelantikan Fauziah Hisham sebagai Pengerusi wanita pertama

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Julai - Kumpulan Etiqa melantik Fauziah Hisham sebagai Pengerusi baharu berkuatkuasa pada 1 Julai 2024.


Pelantikan itu menjadikan beliau pengerusi wanita pertama di kumpulan insurans itu. 


Beliau menggantikan Datuk R. Karunakaran, yang telah bersara selepas berkhidmat lebih tujuh tahun sebagai pengerusi di Etiqa.


Dalam kenyataan media, Etiqa berkata Fauziah telah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Etiqa International Holdings Sdn Bhd dan Maybank Ageas Holdings Bhd selama dua tahun sebelum beliau dilantik sebagai pengerusi di kedua-dua syarikat itu. 

 

 


Selain itu, Fauziah juga merupakan Rakan Ahli Institut Tadbir Urus Bertauliah, United Kingdom dan Pengarah Risiko Berkelayakan Institut Pengamal Risiko Perusahaan.


Beliau mempunyai pengalaman perbankan lebih 30 tahun setelah berkhidmat dalam pengurusan kanan dan peranan kepimpinan di J.P. Morgan Chase, Standard Chartered Bank dan Australia & New Zealand Banking Group di Malaysia.


Beliau juga dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif J.P. Morgan Chase Bank Bhd dari 2002 hingga 2006.


Selepas persaraan beliau daripada Australia & New Zealand Banking Group, Fauziah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah J.P. Morgan Chase Bank Bhd pada Januari 2015. 


Beliau meletak jawatannya di J.P. Morgan Chase Bank untuk berkhidmat sebagai Lembaga Pengarah Malayan Banking Bhd (Maybank) pada Mei 2018.- DagangNews.com