EVD Berhad disaman lebih RM600,000 oleh subkontraktor | DagangNews Skip to main content

EVD Berhad disaman lebih RM600,000 oleh subkontraktor

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 16 Jan - Anak syarikat milik penuh EVD Berhad iaitu EVD Engineering Sdn Bhd (EVDE) disaman berhubung tuntutan RM600,292 oleh subkontraktor untuk pembekalan kerja bangunan awam dan struktur.

 

Ini berlaku selepas EVD mengumumkan pada 11 Januari lalu, bahawa subkontraktor, North Line Eng (M) Sdn Bhd, telah memperoleh penghakiman ingkar kehadiran terhadap EVDE atas tuntutan itu.

 

Tuntutan itu adalah atas pertikaian mengenai skop kerja yang dituntut oleh North Line dan kelulusan pengesahan kerja yang dilakukan di tapak projek, kata EVD dalam makluman di Bursa Malaysia. Kerja-kerja tersebut melibatkan pemasangan kabel.

 

EVD berkata EVDE akan mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam caranya berhubung tuntutan itu.

 

“Siasatan lanjut akan dijalankan untuk semua kerja yang dilakukan oleh plaintif dan tuntutan mereka,” tambah kumpulan itu.

 

Pada 11 Januari lalu, EVD juga berkata bahawa EVDE telah menerima petisyen penggulungan yang timbul daripada tuntutan Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 oleh subkontraktor berjumlah RM1.59 juta.

 

Dalam makluman berasingan di bursa, EVD berkata EVDE telah diserahkan dengan dua petisyen penggulungan oleh Exypnos Engineering Sdn Bhd (berhubung tuntutan RM728,861) dan Yee Cheng Construction Sdn Bhd (tuntutan RM870,413).

 

ARTIKEL BERKAITAN: EVD Berhad gantung tugas pengarah eksekutif operasi berkuatkuasa serta-merta

 

Pada 11 Januari, EVD juga telah mengumumkan penggantungan pengarah eksekutif operasinya Mah Seong Huak berkuat kuasa serta-merta. Bagaimanapun, ia tidak mendedahkan sebab penggantungan itu.

 

Saham dalam EVD ditutup 0.5 sen atau 3.85% lebih rendah kepada 12 sen, menilai kumpulan itu pada RM51.84 juta. - DagangNews.com