KUALA LUMPUR 17 Dis - Pengoperasian pesawat tempur F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mencatat kejayaan membanggakan apabila memasuki tahun penggunaan yang ke-25.
F/A-18D Hornet dikendalikan No 18 Skuadron berpengkalan di TUDM Butterworth, Pulau Pinang.
Skuadron tersebut yang ditubuhkan pada 1997 sebagai skuadron tempur apabila negara membeli lapan pesawat buatan Boeing (dulunya Mcdonnell Douglas) dari Amerika Syarikat (AS).
Kelmarin, majlis sambutan ulangtahun ini telah diadakan di No 18 Skuadron Pangkalan Udara Butterworth yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan.
Sebagai simbolik, sebuah pesawat F/A-18D Hornet iaitu M45-01 diwarnakan dengan skema warna tema sambutan dan lakaran logo sambutan ulang tahun yang ke-25.
Sepanjang tempoh pengoperasian, No 18 Skuadron telah mempamerkan khidmat yang cemerlang dalam organisasi TUDM untuk menjaga kedaulatan ruang udara negara.
F/A-18D Hornet dengan rekod sifar nahas udara juga adalah sesuatu yang wajar dibanggakan.
Misi ‘Ops Daulat’ pada tahun 2013 telah membuktikan keupayaan pesawat ini dalam menyekat pencerobohan pemberontak Sulu di Sabah.
Kecemerlangan ini turut dimainkan oleh keseluruhan warga skuadron melibatkan juruterbang, kru, juruteknik dan pentadbiran.
Sejajar dengan keperluan operasi dan perkembangan teknologi masa kini, TUDM telah melaksanakan program naik taraf pesawat iaitu ke tahap ‘SCS 25X' yang dilancarkan pada tahun 2014.
Program naik taraf ini memastikan pesawat tempur F/A-18D Hornet relevan dan boleh beroperasi sekurang-kurangnya sehingga tahun 2030.
Ini membuktikan pihak kepimpinan TUDM komited dalam memastikan keupayaan aset udara ini terus relevan sebagaimana aspirasi pelan pembangunan keupayaan TUDM (CAP55).
CAP55 adalah pelan jangka panjang keupayaan transformasi entiti pertahanan negara itu dari tahun 2021 hingga 2055.
Ini bermakna F/A-18D Hornet akan dikekalkan sehingga TUDM melaksanakan perolehan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) pada tahun 2030.
Program naik taraf berikutnya iaitu 'SCS 29C' berjalan seperti yang dirancang bagi meningkatkan lagi kemampuan pesawat F/A-18D Hornet setanding dengan yang dimiliki negara lain.
Selain itu, kemampuan sistem pesawat ini juga membolehkan No 18 Skuadron terpilih untuk melaksanakan pelbagai misi dan latihan di dalam dan luar negara.
Antaranya Eksesais Pitch Black pada 2008 dan 2018 di Australia. Ini merupakan eksesais antarabangsa melibatkan lebih 20 buah tentera udara yang dikendalikan dalam suasana seperti operasi perang sebenar.
Dalam eksesais ini, F/A-18D Hornet TUDM berjaya melaksanakan misi bersama-sama pesawat tentera negara maju lantas membuktikan keupayaan juruterbang dan pesawat.
Perolehan pesawat F/A-18D Hornet telah melonjakkan keupayaan pertahanan udara negara yang sebelumnya bergantung pada pesawat lama seperti F-5E dan A-4A Skyhawk PTM.
Malaysia bersetuju memperoleh lapan pesawat ini pada Jun 1993 menerusi Foreign Military Sales (FMS) sebelum dimeterai pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA).
Empat pesawat pertama diterima pada 19 March 1997 manakala bakinya pada Ogos. Ini juga merupakan FMS terbesar negara dengan AS.
Sepanjang penggunaanya, pihak Boeing telah memberikan sokongan yang baik pada TUDM lantas memperlihatkan bagaimana penglibatan langsung negara pembekal dengan pengguna sangat penting.
Sokongan ini antaranya membabitkan program kejuruteraan, logistik, latihan juruterbang dan teknikal. Khidmat sokongan ini sama sepertimana diberikan kepada pengguna lain pesawat F/A-18 Hornet.
F/A-18 Hornet yang mula diterbangkan pada 1978 pertama kali diguna oleh Tentera Laut AS dan Kor Marin AS tiga tahun kemudian sebelum terbabit dalam beberapa operasi seperti Desert Storm dan Desert Fox semasa Perang Iraq.
Sepertimana pesawat F/A-18 Hornet negara lain, pesawat milik TUDM ini turut dilengkapi dengan sistem persenjataan seperti AIM-9 Sidewinder, AGM-65 Maverick dan JDAM.
Pada Disember 2005, kerajaan AS meluluskan penjualan peluru berpandu Raytheon AIM-120 AMRAAM kepada Malaysia.
Pihak Raytheon juga diberi kontrak pada 2007 untuk menaik taraf peluru berpandu AIM-9M milik TUDM.
Pada tahun 2017, negara dikatakan berminat untuk memperoleh pesawat terpakai F/A-18C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait sebagai inisiatif mengimbangi kekuatan TUDM.
Walaupun sepanjang tempoh itu beberapa kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan dan kepimpinan TUDM, namun difahamkan proses untuk perolehan itu belum dimulakan.
Kuwait memiliki 40 buah pesawat ini yang dibeli selepas Perang Teluk.
Seperti diketahui umum, sebarang penjualan aset ketenteraan buatan AS akhirnya perlu mendapatkan kelulusan negara pembuat yang mana prosesnya memakan masa.
Selain itu, perolehan pesawat terpakai juga mempunyai implikasi kewangan yang besar bagi menyelenggara semula pesawat agar mengikut kesesuaian negara pengguna baharu.
Maka sebagai jalan mudah adalah lebih relevan mendapatkan pesawat baharu walaupun kosnya besar berbanding membeli pesawat terpakai.
Justeru, memperoleh pesawat baharu menguntungkan pada jangka masa panjang selain dapat memiliki pesawat tempur dengan teknologi mutakhir.
F/A-18D Hornet adalah contoh terbaik dalam perolehan TUDM kerana pada usia 25 tahun, pesawat Hornet masih berbisa dalam menonjolkan kemampuan TUDM pada tahap yang maksimum. - DagangNews.com