Felda hampir memiliki FGV?  | DagangNews Skip to main content

Felda hampir memiliki FGV? 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

Tahun 2021, sama ada akan memberi berita baik kepada Felda atau tidak semuanya bergantung kepada keputusan yang akan dibuat FGV Holdings Bhd. sebelum 2 Februari ini. 

 

Warga Felda terutama peneroka ramai yang menaruh harapan supaya FGV dapat kembali ke pangkuan mereka semula dan mencipta zaman kegemilangan seperti suatu waktu dulu. 

 

Hanya dengan bersikap sentimental, hakikatnya tidak menjamin kejayaan sesebuah syarikat. 

 

Banyak isu membelenggu Felda mahupun FGV. Malah, kedua-duanya terpalit dengan masalah tadbir urus terutama dengan penyertaan ahli politik dalam kepimpinan agensi tersebut.

 

Sejauh mana, sekembalinya FGV ke Felda dapat memperbetulkan keadaan atau Felda juga perlu berubah bagi membersihkan imej FGV, semuanya terletak di bahu pengerusi Felda ketika ini, Datuk Seri Idris Jusoh. 

 

Syarikat perladangan itu sebelum ini dikenali sebagai Felda Global Ventures Holdings Bhd. melalui proses penjenamaan semula pada 5 Julai 2018 dan semua anak syarikatnya selesai pada Januari 2019 yang mahu dikenali sebagai FGV.

 

Tetapi, sama ada Felda akan menukar kembali nama asal FGV atau tidak selepas ini, terserah kepada agensi berkenaan. 

 

Hasrat Felda untuk mengambil alih FGV dilihat hampir menjadi kenyataan apabila agensi itu dilaporkan membeli 27.14 juta saham FGV dalam pasaran terbuka bernilai RM1.29 sesaham 2 hari berturut-turut sejak Rabu, yang berdasarkan kiraan berjumlah RM35.02 juta. 

 

Ini adalah langkah susulan yang diambil agensi itu selepas pada 8 Disember lalu dilaporkan mengambil alih kepentingan dalam FGV sebanyak 506,190,800 atau 13.88% ekuiti dengan nilai sebanyak RM658 juta.

 

Agensi itu meningkatkan pegangannya dengan membeli keseluruhan kepentingan yang dimiliki Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), 6.1% dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., 7.78%. 

 

Pengambilalihan kepentingan ini dengan RM1.30 sesaham meningkatkan pegangan Felda dalam FGV kepada 35.12% daripada 21.24% atau 775,029,80 saham.

 

Ini bermakna, Felda dan pihak yang bertindak bersama (PAC) dengannya mempunyai pegangan terkumpul sehingga 50.49% dalam FGV. 

 

Baca : Felda tidak berhasrat kekalkan penyenaraian FGV

 

Baca : Kembalikan FGV kepada Felda - Akar umbi

 

Pada 22 Disember lalu, Felda menyatakan tiada perancangan untuk meneruskan status penyenaraian FGV di Bursa Malaysia. 

 

Sebaliknya, FGV akan diterajui secara syarikat persendirian sekiranya Felda berjaya mengambil alih 90% atau lebih pegangan ekuiti dalam syarikat berkenaan.

 

Pengambilalihan ini tercetus selepas Felda mahu mengambil semula tanah yang dipajakkan kepada FGV seluas 350,000 hektar, termasuk kesemua kilang sawit. 

 

Berdasarkan analisis yang dibuat firma penyelidikan, CGS-CIMB Research mendapati, sekiranya Felda mengambil alih kesemua saham yang tidak dimilikinya, ia hanya bernilai RM3.1 bilion, berdasarkan harga tawaran RM1.30 sesaham.

 

Malah, ia jauh lebih rendah berbanding penilaian FGV, yang mana syarikat itu menganggarkan ia akan menerima pampasan antara RM3.5 hingga RM4 bilion dan ini tidak termasuk kilang sawit yang mungkin bernilai RM1 bilion (pukal). 

 

menara FGV
FGV Holdings Bhd. sebelum ini dikenali sebagai Felda Global Ventures Holdings Bhd. 

 

Penyenaraian FGV pada 2012, adalah satu kebanggaan kepada warga peneroka. Pada harga RM4.55 sesaham, ia adalah penyenaraian kedua terbesar di dunia selepas Facebook. 

 

Jika ada yang masih ingat, mesyuarat agung tahunan (AGM) FGV pernah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menampung jumlah peneroka yang ramai. 

 

Ini sebenarnya sesuatu yang jarang berlaku dalam dunia korporat di negara ini walaupun ada juga syarikat-syarikat lain yang membuat AGM di PWTC tetapi ia tidak sama seperti FGV. 

 

Semangatnya lain. Ia semangat peneroka.  

 

Perdana Menteri (ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak) pula kebiasaannya mengumumkan pemberian dividen FGV kepada peneroka menjelang atau pada 7 Julai setiap tahun, yang merupakan sambutan Hari Peneroka. 

 

Selain itu, ada juga 'durian runtuh' lain diberikan buat peneroka antaranya, bonus dan duit raya.

 

Namun, sesuatu yang amat dikesali apabila FGV tidak dapat menyerap 'semangat' itu. 

 

Pada 2019, FGV hanya merekodkan keuntungan sebanyak RM16.51 juta dan jumlah itu, jauh berbeza daripada yang pernah dicatatkan sebelum itu dengan tertinggi pernah dicapai pada 2011, iaitu RM1.85 bilion.

 

Penyusutan itu antara lain turut disebabkan ketidaktentuan dalam pasaran harga minyak sawit, harga saham yang lemah serta beberapa langkah pelaburan yang kurang menguntungkan. 

 

Saham FGV setakat ini merosot lebih 70% sejak penyenaraiannya pada 2012. Pada 11.13 pagi ini, saham FGV susut 0.77% kepada RM1.29 dengan nilai pasaran RM4.39 bilion. 

 

Sebelum ini, keuntungan berbilion ringgit bukan sesuatu yang baharu buat Felda malah sejak 2007, keuntungan operasi ladang Felda semuanya melepasi paras RM1 bilion kecuali pada 2009 yang mencatatkan RM854 juta.

 

Selepas FGV disenaraikan, keuntungan Felda mula jatuh dengan banyak sehingga memaksa Felda berhutang dengan bank dengan jumlah hutang mencecah RM10.6 bilion.

 

Susulan penyenaraian itu, FGV perlu membayar sebanyak RM248 juta dan 15% daripada keuntungan operasi di bawah perjanjian pajakan tanah (LLA) dan syarikat itu telah membayar sebanyak RM2.5 bilion kepada Felda setakat 2019. 

 

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Felda, Tan Sri Abdul Wahid Omar pada Oktober lalu pernah membangkitkan persoalan mengenai penggunaan hasil daripada IPO sebanyak RM11 bilion, yang mana sekiranya ia dilaburkan dengan baik, tidak akan menyebabkan kerugian kepada Felda.  

 

Jika benar Felda semakin hampir untuk mendapatkan semula FGV, dan jika ini menjadi kenyataan, lakukanlah dengan sewajarnya.

 

Kadang-kadang peluang kedua tidak datang selalu. Anggaplah ini peluang kedua buat Felda dan FGV untuk kembali menjadi organisasi yang gah.  - DagangNews.com