Fernandes yakin AirAsia mampu 'terbang semula'  | DagangNews Skip to main content

Fernandes yakin AirAsia mampu 'terbang semula' 

Tony Fernandes selepas menerima suntikan pertama vaksin hari ini.

 

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes yakin AirAsia dan syarikat penerbangan lain di dunia akan kembali lebih 'terbang semula', berikutan program vaksinasi yang giat dijalankan dan peningkatan permintaan perjalanan.

 

Beliau yang menerima suntikan pertama vaksin hari ini di Malaysia berkata, keberkesanan vaksin boleh dilihat dalam kalangan negara yang meneraju program vaksinasi COVID-19 antaranya, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Israel, di mana ada bukti yang jelas antara penurunan kes harian dan program vaksinasi yang dilancarkan secepat mungkin.

 

"Saya baru sahaja menerima vaksin dan sejumlah Allstars di semua pasaran utama kami telah divaksinasi atau mendaftar untuk mendapatkannya secepat mungkin. 

 

"Apa yang penting, di semua pasaran utama operasi kami, program vaksinasi berada di landasan yang tepat untuk menjadikan sebahagian besar penduduk divaksin menjelang akhir tahun ini yang merupakan petanda baik untuk masa depan AirAsia Group," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pelancaran program vaksinasi dan peningkatan permintaan akan mendorong pemulihan berbentuk-V dalam beberapa bulan akan datang.

 

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), pemulihan pesat dalam perjalanan udara domestik dijangka melepasi 2019 menjelang 2022 diterajui oleh Asia Pasifik.

 

Pandangan ini turut dikongsi dalam laporan baru-baru ini oleh Rothschild and Co. yang menyimpulkan bahawa sentimen perjalanan akan melonjak berikutan usaha program vaksinasi dan peningkatan permintaan perjalanan, seterusnya mendorong pemulihan di pasaran domestik utama di Asia-Pasifik pada separuh kedua 2021. 

 

Laporan ini juga berdasarkan trafik laman web syarikat-syarikat penerbangan utama dan laman web perjalanan yang menunjukkan peningkatan trafik untuk negara-negara dengan kadar vaksinasi yang tinggi.

 

Fernandes berkata, AirAsia telah menggunakan waktu ini sebagai peluang untuk mengurangkan lagi struktur kos syarikat dan fokus pada kawalan kos yang ketat termasuk menutup operasi yang merugikan seperti AirAsia Japan dan mengurangkan pelaburannya dalam AirAsia India untuk memberi tumpuan kepada ASEAN, di mana jenama dan syarikatnya lebih kukuh.

 

Katanya, strategi rangkaian dan pesawat juga telah dikaji secara menyeluruh untuk memastikan penerbangan dilakukan di laluan paling popular dan menguntungkan apabila sekatan perjalanan dibuka.

 

“Saya yakin AirAsia akan pulih lebih cepat daripada pesaing-pesaing kami, kerana lebih daripada 50% perniagaan kami adalah pasaran domestik, yang akan pulih sebelum perjalanan antarabangsa atau perjalanan perniagaan. 

 

"Penerbangan domestik jarak pendek dengan tambang rendah dijangka pulih pada suku ketiga 2021, dan perjalanan antarabangsa dijangka mencapai tahap sebelum COVID-19 pada akhir 2022," katanya.

 

Dengan peningkatan pengenalan dan penggunaan pasport perjalanan digital dan pasport vaksin, perjalanan juga akan dipermudahkan dan lebih selamat dalam keadaan semasa.

 

“Sebagai sebuah syarikat penerbangan, kami tidak mensia-siakan krisis ini, sebaliknya menggunakan masa penggantungan 245 buah pesawat kami untuk menyusun strategi dan mempelbagaikan perniagaan dan memacu perniagaan digital kami yang bermula sebelum wabak ini tercetus.

 

"Kami kini mempunyai dua perniagaan utama iaitu syarikat penerbangan dan digital. Perniagaan e-dagang dan logistik adalah masa depan kami," katanya.

 

AirAsia kini memiliki 17 produk perjalanan, gaya hidup dan teknologi kewangan di aplikasi super yang menawarkan lebih nilai dan pilihan untuk makanan, membeli-belah, destinasi penerbangan, penginapan dan banyak lagi dengan harga terendah semuanya di hujung jari menerusi aplikasi mudah alih. 

 

Dari segi dana pula, beliau berkata, AirAsia telah menyelesaikan 2 tahap latihan penempatan swasta dan mengumpulkan RM336 juta yang merupakan sebahagian daripada rancangan keseluruhan kumpulan untuk mengumpul antara RM2 bilion hingga RM2.5 bilion. 

 

Pada bulan lalu, AirAsia Thailand mengumumkan skim penyusunan semula korporat dan modal yang memerlukan modal baharu hingga 5.9 bilion baht. - DagangNews.com