KUALA LUMPUR 26 Okt - Alibaba Group Holding Limited (Alibaba) dengan rasminya melancarkan edisi tahunan Festival Beli-Belah Global 11.11 (11.11) kali ke-14 pada 24 Oktober 2022, menampilkan lebih 290,000 jenama.
Pada tahun ini, Alibaba akan menyediakan para peniaga dengan alat dan penyelesaian untuk mengembangkan program keahlian kesetiaan jenama mereka dan memperkenalkan produk-produk baharu, antara inisiatif lainnya, bagi membantu mereka mencipta kejayaan semasa dan selepas 11.11.
Sehingga kini, lebih 40 jenama di Tmall mempunyai program keahlian kesetiaan yang melepasi 10 juta ahli dan 600 jenama mempunyai program keahlian kesetiaan dengan lebih satu juta ahli.
Presiden Pembangunan Industri dan Pusat Operasi Taobao dan Tmall Kumpulan Alibaba, Chui Xue berkata, festival 11.11 pada tahun ini akan menampilkan produk yang paling pelbagai dalam sejarah pada acara ini.
"Ia akan menampilkan sebanyak 17 juta produk tersedia kepada lebih satu bilion pengguna aktif tahunan di platform kami di China, hasil daripada sokongan jenama dan peniaga kami dari seluruh pelosok dunia.
"11.11 merupakan jentera yang paling berkuasa bagi pertumbuhan pengguna pelanggan kami pada setiap tahun. Mentransformasikan kesedaran pengguna kepada kesetiaan pelanggan merupakan kunci utama kepada penjanaan pulangan terbaik terhadap pelaburan.
"Kami akan memperkenalkan inovasi teknologi dan perniagaan dan pada masa yang sama menambah baik pemadanan penawaran permintaan serta pengurusan keahlian kesetiaan, bagi menyokong rakan kongsi jenama dan peniaga kami.
"Akhirnya, kami menetapkan sasaran untuk menukar aset pelanggan kami menjadi kuasa pendorong paling penting bagi pertumbuhan perniagaan jangka panjang para peniaga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pra-jualan 11.11 di Tmall akan bermula pada jam 8 malam waktu Beijing pada 24 Oktober.
Alibaba akan menyokong peniaga dari segi pengambilan ahli kesetiaan, bersama-sama dengan inisiatif lain, untuk menggalakkan penggunaan sistem keahlian yang lebih meluas sebagai alat untuk menarik, melibatkan dan mengekalkan pengguna oleh peniaga di platformnya. - DagangNews.com