FGV sasar perluas Premeo ke rantau Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

FGV sasar perluas Premeo ke rantau Asia Pasifik

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - FGV Holdings Bhd. menerusi anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOPSB) menyasarkan untuk memperluaskan produk di bawah jenama Premeo ke rantau Asia Pasifik. 

 

Terdapat 3 produk baharu berasaskan tumbuhan akan diperkenalkan iaitu Gantian Lelemak Haiwan Premeo, Gantian Lelemak Tenusu Premeo dan Minyak Gorengan Premeo.

 

Langkah ini selaras dengan hasrat FGV dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk lelemak dan minyak berasaskan tumbuhan berkualiti tinggi khususnya sektor makanan sejuk beku dan pencuci mulut di negara-negara seperti Korea Selatan dan Jepun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, syarikat menyedari akan peningkatan minat dan kecenderungan pengguna terhadap sumber makanan yang lebih lestari dan berasaskan tumbuhan didorong oleh perubahan diet pengguna.

 

Katanya, dengan produk baharu Premeo ini, pengeluar makanan dapat menawarkan produk bergred tinggi dengan pelbagai manfaat kesihatan seperti bebas dari kandungan patogen dan mikrob perosak. 

 

Lelemak dan minyak khas ini menawarkan pilihan kepada para pelanggan industri iaitu bebas daripada kandungan kolesterol secara semulajadi, kaya dengan vitamin E, serta tidak mengandungi lelemak tepu.

 

“Selain itu, gantian lelemak ini turut membekalkan fungsi dan tekstur yang sama seperti lelemak tenusu dan haiwan, selain menambahkan lagi khasiat pemakanan pada harga yang berpatutan. 

 

"Bagi minyak gorengan premium pula, ia terbukti mampu menggoreng dengan lebih lama dan ini memberikan lebih nilai kepada para pelanggan serta menghasilkan gorengan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Kesemua produk itu dibangunkan menerusi penyelidikan secara khusus di Pusat Inovasi FGV di Nilai, Negeri Sembilan.  - DagangNews.com