FGV tidak tunjukkan peningkatan kredibiliti ESG pada tahun ini, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

FGV tidak tunjukkan peningkatan kredibiliti ESG pada tahun ini, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Sektor perladangan huluan FGV Holdings Bhd masih mencatatkan kerugian dan pada masa sama kumpulan itu tidak menunjukkan sebarang peningkatan dalam kredibiliti amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pada tahun ini. 

 

RHB Investment berkata, kumpulan itu juga berdepan kesukaran seperti hasil yang lebih rendah, pokok yang lebih tua, tekanan alam sekitar, kos yang lebih tinggi, isu buruh dan keuntungan lebih rendah.

 

Katanya, harga minyak sawit mentah (MSM) telah meningkat ke paras tertinggi tetapi sentiasa ada risiko yang akan menurunkan harga ke paras pulang modal.

 

"Kami menjangkakan harga MSM jangka panjang berada pada paras yang lebih tinggi iaitu RM3,000 hingga RM3,500 dan ke atass, tetapi harga berkemungkinan kekal tidak menentu.

 

"Memandangkan ini bukan dalam kawalan pengeluar, mereka perlu lebih menumpukan pada pertumbuhan hasil, kawalan kos dan usaha kepelbagaian yang berpotensi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengeluar perlu meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh, membelanjakan lebih banyak untuk R&D bagi menghasilkan anak benih yang lebih baik dengan hasil yang lebih tinggi dan kos penyelenggaraan yang lebih rendah, dan memberi lebih penekanan kepada ESG.

 

RHB Investment berkata, sebahagian pengusaha telah mempelbagaikan perniagaan ke dalam industri lain seperti hartanah, penanaman buah-buahan, pembuatan sarung tangan dan penternakan tenusu. 

 

Katanya, sejak kebelakangan ini, kita telah melihat lebih banyak kepelbagaian mesra ESG seperti menghasilkan kayu dan baja dan menggunakan sisa minyak sawit.


"Selain daripada usaha niaga yang mengambil kesempatan daripada bank tanah mereka seperti penjualan tanah dan pembangunan hartanah, tiada satu pun daripada ini telah meningkatkan sumbangan pendapatan.

 

"Dengan pengewangan bank tanah seperti pusat data atau usaha niaga tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti ladang solar kini menjadi kepelbagaian yang boleh dilaksanakan, ini mungkin berubah pada masa hadapan jika lebih ramai pengeluar memilih untuk melibatkan diri," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik penarafan kepada 'neutral' daripada 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM1.15 sesaham.- DagangNews.com