KUALA LUMPUR 7 Dis – Ficus Capital melabur AS$400,000 (kira-kira RM1.75 juta) melalui Dana Ficus SEA di dalam Assemblr, sebuah syarikat platform realiti terimbuh (AR) berstatus syarikat permulaan berpangkalan di Bandung, Indonesia yang memberi tumpuan untuk membantu pengguna mencipta kandungan AR melalui platform berasaskan webnya.
Rakan Kongsi Urusan, Ficus Capital, Abdullah Hidayat berkata, pihaknya telah melihat kemunculan realiti terimbuh dalam pelbagai bidang terutamanya dalam permainan, pengiklanan dan hiburan.
Menurutnya, permintaan akan menjadi lebih besar apabila dunia sedang bersiap sedia ke arah apa yang akan dibawa oleh metaverse.
"Assemblr ialah alat platform tunggal intuitif yang boleh menyediakan pengguna dengan kandungan realiti terimbuh dan realiti maya yang menarik, menjadikannya boleh diakses oleh semua orang untuk mencipta pengalaman maya kehidupan sebenar yang mengasyikkan,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Ficus Capital telah mengumumkan dana utama RM60 juta, Ficus SEA, dengan tumpuan kepada pelaburan di rantau Asia Tenggara, sementara Mavcap ialah pelabur utama dana. Ini adalah pelaburan pertama Ficus Capital untuk syarikat permulaan yang berpangkalan di luar Malaysia. Ficus Capital ialah pemodal teroka patuh syariah pertama di dunia.
Diasaskan bersama oleh Hasbi Asyadiq, Anita Yustisia dan Risnandar pada 2018, Assemblr ialah platform dalam talian realiti terimbuh yang mencipta, menemui dan berkongsi pengalaman AR untuk perniagaan, pelajar dan pengguna peribadi.
Platform ini membolehkan pengguna membina dan menggambarkan dunia mereka sendiri dan meletakkannya dalam tetapan kehidupan sebenar dengan hanya beberapa ketikan, menyeret dan menjatuhkan pada peranti pengkomputeran mereka.
Pengasas muda ini menyasarkan untuk menjadikan AR boleh diakses oleh semua orang pada satu platform awan. Assemblr kini mempunyai lebih daripada 2 juta projek yang dibuat, di seluruh dunia.
Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Assemblr, Hasbi Asyadiq berkata, pihaknya komited untuk menjadikan AR boleh diakses oleh semua orang.
"Perkongsian dengan Ficus Capital akan membantu kami mempercepatkan penggunaan Assemblr kerana kami akan menjangkau lebih ramai pengguna di seluruh rantau dan seterusnya dunia.
"Kami telah memberi penekanan tambahan pada reka bentuk dan kebolehgunaan UI/UX platform untuk memperkasakan pengguna untuk mencipta kandungan mereka dengan mudah dan menghidupkan idea mereka,” kata beliau.
Assemblr ialah alumni pelbagai pemecut antarabangsa yang terkenal termasuk Techstars Hub 71, Facebook Accelerator dan Plug And Play. Ia juga telah dipaparkan sebagai App Store of the Day Apple App Store di lebih 100 negara. - Dagangnews.com