Firma pertahanan Turkiye, STM dipilih bina kapal LMS Batch 2 TLDM | DagangNews Skip to main content

Firma pertahanan Turkiye, STM dipilih bina kapal LMS Batch 2 TLDM

Korvet kelas ADA buatan STM yang ditawarkan sebagai calon LMS Batch 2 TLDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 14 Mac - Firma perkapalan Turkiye, Savunma Teknolojieri Muhendislik (STM) telah dipilih bagi melaksanakan program kapal misi pesisir kumpulan kedua (LMS Batch 2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Pemilihan tersebut menepati jangkaan dalam kalangan pemerhati pertahanan negara yang mana firma Turkiye ini dilihat mempunyai banyak kelebihan.

 

STM menawarkan kapal bersaiz korvet kelas ADA yang juga telah digunakan dalam armada negara itu.

 

 

 

 

Kementerian Pertahanan (Mindef) telah mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada STM pada 5 Februari.

 

Ini susulan kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk membiayai program LMS Batch 2 ini setelah diperoleh pada 18 Januari lalu.

 

Ada

 

Menerusi jawapan balas yang diberikan kepada Mindef, firma STM menyatakan kesediaan untuk berunding.

 

Walaupun kontrak rasmi belum ditawarkan tetapi dalam amalan korporat, pemberian LOI merupakan fasa pertama bagi rundingan bertujuan menganugerahkan kontrak.


 

BACA JUGA: RM7.02 bilion telah dibayar kerajaan untuk projek LCS sehingga kini, kata Menteri Pertahanan

 

Mindef kini dalam peringkat rundingan terperinci berhubung spesifikasi yang ditawarkan dan seterusnya akan melaksanakan rundingan harga sebelum memuktamadkan pembelian.

 

Perolehan LMS Batch ini dilaksanakan secara rundingan terus dengan syarikat berkaitan menggunakan pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G). 

 

Dengan pemilihan firma STM ini bermakna persaingan untuk mendapatkan kontrak bernilai RM2.4 bilion bagi tiga buah kapal berakhir.

 

Ada
Sistem persenjataan dan pertahanan yang dimiliki korvet kelas ADA.

 

Ada
Mohammad Hassan (dua dari kanan) semasa mengadakan lawatan ke Turkiye pada Mac tahun lalu.

 

Biarpun tidak dinyatakan tetapi masa terbaik untuk mengumumkan pemilihan firma STM bagi melaksanakan program LMS Batch 2 ialah pada Mei ini semasa berlangsungnya pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) di Kuala Lumpur.

 

LMS Batch 2 akan menjadi perolehan kedua terbesar TLDM selepas projek kapal tempur pesisir (LCS) berdasarkan nilai keseluruhan sebanyak RM6 bilion dengan lapan buah kapal.

 

Peluang untuk Turkiye dipilih membina kesemua kapal LMS Batch 2 mungkin ada setelah siap kapal kumpulan pertama, namun ia masih awal untuk dijangka.

 

Berbanding perolehan empat LMS pertama dengan kos RM1.17 bilion, pembelian LMS Batch 2 lebih mahal kerana kapal berkenaan lebih besar dan mempunyai persenjataan lebih lengkap.

 

Ada

 

LMS
Kapal LMS pertama TLDM bersaiz kecil dengan keupayaan yang terbatas.

 

ADA direka sebagai kapal tempur untuk Tentera Laut Turkiye kerana mempunyai keupayaan bagi pertempuran tiga dimensi.

 

Laman pertahanan negara itu juga sebelum ini giat melaporkan bahawa korvet kelas ADA telah dipilih Malaysia untuk memodenkan angkatan lautnya.

 

Semasa Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi (LIMA) yang lalu, firma STM yang tampil telah menonjolkan korvet ADA yang digambarkan seolah-olah telah menjadi pilihan TLDM.

 

Disebabkan itu, media tempatan menjangkakan pengumuman mengenai perolehan LMS Batch 2 akan dibuat semasa LIMA berlangsung tetapi tidak berlaku.

 

Mindef pada Disember lalu telah pun mengumumkan bahawa kapal buatan Turkiye akan menjadi pilihan TLDM bagi program LMS Batch 2 namun tidak menyatakan spesifikasi kapal.

 

Ada
Pemilihan korvet ADA sebagai kapal LMS Batch 2 menggandakan keupayaan TLDM.

 

Ini kerana terdapat tiga firma perkapalan Turkiye yang bersaing selain STM iaitu Dearsan dan TAIS Shipyard.

 

Pada Mac tahun lalu, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan telah mengadakan lawatan ke Turkiye berhubung kerjasama pertahanan antara kedua negara.

 

Walaupun tidak dinyatakan secara spesifik, tetapi umum melihat kunjungan tersebut berkait-rapat dengan cadangan perolehan tiga buah kapal LMS Batch 2 TLDM.

 

Mindef dijangka tidak akan mengambil masa yang lama untuk memuktamadkan segala keperluan bagi kapal LMS Batch 2 memandangkan STM merupakan firma pertahanan global dan mempunyai kemampuan tinggi.

 

STM

 

Ini kerana dengan pembinaan kapal LCS yang kelihatan perlahan semestinya TLDM berkeinginan mendapatkan aset secepat yang boleh.

 

Sebab itu sasaran TLDM ialah untuk menerima kapal LMS Batch 2 pertama pada tahun 2027 dan lengkap kesemua kapal pada 2028. - DagangNews.com