Firma semak naik unjuran IPP lebih kukuh | DagangNews Skip to main content

Firma semak naik unjuran IPP lebih kukuh

 

 

KUALA LUMPUR 7 Mei - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) dijangka berkembang kukuh tahun ini setelah indeks itu pada Mac merekodkan pertumbuhan tertinggi sejak Julai 2013. 

 

MIDF Research mengunjurkan IPP akan mencatat pertumbuhan 12.8% pada 2021 dengan aktiviti pengeluaraan akan terus meningkat. 

 

Ini akan disokong oleh permintaan luaran yang kukuh bagi produk elektrik dan elektronik, sarung tangan getah dan komoditi, tambahnya.

 

"Meskipun pengeluaran dijangka lemah dalam tempoh terdekat bagi industri domestik disebabkan kelembapan permintaan, tetapi kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 secara bersasar hanya bersifat jangka pendek.

 

"Keyakinan akan terus meningkat bagi bulan berikutnya memandangkan lebih banyak penduduk menerima vaksin," katanya dalam nota kajian.

 

IPP melonjak 9.3% pada Mac 2021 berbanding bulan sama tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini dipacu oleh indeks Pembuatan dan Elektrik apabila masing-masing meningkat 12.7% dan 10.3%. Indeks Perlombongan pula menguncup 1.9%.

 

Bagi suku pertama 2021, IPP berkembang 3.9% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pertumbuhan ini disebabkan peningkatan 6.8% dalam indeks Pembuatan manakala sektor Perlombongan dan Elektrik masing-masing merekodkan kemerosotan 4.1% dan 0.1%.

 

Sementara itu, Kenanga Research menyemak naik unjuran IPP kepada 11.2% berbanding 6.5% sebelum itu berdasarkan prestasi suku pertama yang kukuh. 

 

Selain daripada kesan asas yang rendah dijangka pada April dan Mei ini, output pembuatan juga akan disokong oleh pemulihan ekonomi oleh negara dagangan utama di tengah-tengah kemajuan program vaksin dan penggunaan teknologi yang semakin berkembang. 

 

"Pemulihan mendadak dalam sektor pembuatan dan permintaan luaran, beserta langkah-langkah fiskal akan meningkatkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama kepada 2.1% dan KDNK 2021 pada 6.5%. 

 

"Bagaimanapun, kami melihat risiko penurunan masih kekal ada terutama lonjakan ketara jangkitan COVID-19 secara global dan langkah-langkah pembendungan yang diperketatkan," jelas firma itu. - DagangNews.com