Foodpanda promosi 2 inisiatif e-dagang | DagangNews Skip to main content

Foodpanda promosi 2 inisiatif e-dagang

 

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Foodpanda Malaysia menjalin kerjasama dengan Kementerian Kewangan dalam usaha untuk menggalakkan penerimaan e-dagang oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Kerjasama ini turut mempromosikan penggunaan secara dalam talian menerusi inisiatif Shop Malaysia Online dan Go E-Commerce mulai Julai hingga Disember 2021.

 

Pengarah Urusan Foodpanda, Sayantas Das berkata, PMKS memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dan berharap dapat menyokong perniagaan tempatan dalam usaha pemulihan selepas pandemik menerusi inisiatif tersebut.

 

"Kami berbesar hati dapat sekali lagi bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam kempen ini bersama-sama dengan platform e-dagang yang lain. 

 

"Malah, kami di Foodpanda sentiasa memberi keutamaan untuk memperkasakan para pengguna dan vendor kami dalam setiap usaha yang dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

foodpanda

 

 

Kementerian Kewangan, menerusi program padanan yang ditaja bersama MDEC dan beberapa buah platform e-dagang terpilih, akan menyediakan latihan penyertaan, subsidi penjual dan sokongan jualan untuk PMKS mulai 1 Julai hingga penghujung Disember ini. 

 

Usaha tersebut bagi membantu memperluaskan capaian pasaran serta mengubah perniagaan mereka kepada pendigitalan menerusi Go E-Commerce. 

 

Para pengeluar makanan segar seperti pekebun dan nelayan serta usahawan wanita dan penyedia makanan dari rumah turut digalakkan untuk menyertai kempen ini. 

 

Kerajaan juga akan menaja bersama baucar diskaun digital untuk beberapa buah platform e-dagang yang terpilih untuk menggalakkan penggunaan oleh pengguna secara dalam talian melalui Shop Malaysia Online.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, MDEC sentiasa berusaha untuk melengkapkan dan mengupayakan perniagaan di Malaysia untuk menghadapi dan berkembang maju dalam tempoh yang begitu mencabar ini. 

 

"Menerusi sokongan yang kukuh daripada kerajaan dan kerjasama awam-swasta yang berkesan, kami berhasrat untuk meneruskan peranan sebagai pemangkin pertumbuhan e-dagang di Malaysia dan dalam masa sama mencipta peluang pekerjaan dan pencarian rezeki," katanya. 

 

Kedua-dua inisiatif Shop Malaysia Online dan Go E-Commerce merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jun 2020.

 

Sehingga kini, inisiatif yang dilaksanakan telah menjana jualan melebihi RM1.87 bilion untuk perniagaan di Malaysia dan memberi manfaat berguna kepada 210,000 peniaga di negara ini. - DagangNews.com