Furniweb Holdings catat untung bersih sebanyak RM3.75 juta pada 1QFY23 didorong bahagian kecekapan Tenaga Baharu | DagangNews Skip to main content

Furniweb Holdings catat untung bersih sebanyak RM3.75 juta pada 1QFY23 didorong bahagian kecekapan Tenaga Baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Mei - Furniweb Holdings Ltd milik PRG Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM3.75 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding RM2.9 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Hasil kumpulan bagi tempoh tersebut berjumlah kira-kira RM60.2 juta (2022:RM30.1 juta), mewakili peningkatan ketara sebanyak RM30.1 juta atau 100% berbanding tempoh yang sama pada 2022.

 

Peningkatan hasil itu disumbangkan terutamanya oleh bahagian kecekapan Tenaga Baharu berjumlah RM37.4 juta bagi tempoh itu.

 

"Bagaimanapun, peningkatan hasil diimbangi oleh hasil yang lebih rendah yang disumbangkan oleh bahagian pembuatan memandangkan penurunan dalam pesanan jualan dalam tempoh tersebut berbanding tempoh yang sama pada 2022," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

PRG Holdings sebelum ini telah mempelbagaikan perniagaan hartanah berikutan penyusunan semula dalaman yang akan menyaksikan pemilikannya dalam Furniweb Holdings yang tersenarai di Hong Kong meningkat sehingga 67.97%.

 

Kumpulan itu berkata, inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan di Amerika Syarikat dan ekonomi utama Eropah kelembapan dalam ekonomi global. 

 

Katanya, kelembapan China adalah lebih buruk daripada yang dijangkakan dan ekonomi global dijangka menjadi lebih perlahan pada 2023.

 

"Gangguan rantaian bekalan ditambah dengan peningkatan kos bahan mentah dan permintaan yang perlahan kekal sebagai cabaran utama yang menjejaskan operasi pembuatan.

 

"Akibat ketidaktentuan ekonomi global, kumpulan itu akan terus beroperasi dalam kekangan dan mereka mengkaji semula permintaan pasaran, strategi penetapan harga serta merasionalkan struktur kos untuk terus berdaya saing dalam pasaran," katanya. - DagangNews.com