Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Segmen elektro-optik syarikat Pentamester Corp Bhd. (Pentamaster) dijangka mencatatkan pemulihan jualan yang lebih tinggi menjelang tahun kewangan 2021.
CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu didorong oleh kadar penukaran prototaip yang lebih tinggi sekali gus meletakkan ramalan jangkaan jualan yang lebih baik.
"Sebagai contoh, kumpulan Pentamaster menunjukkan bahawa mereka menerima pesanan yang tinggi bagi sensor 3D-magnetometer baharu yang dimasukkan dalam aplikasi skrin sentuh," jelas CGS-CIMB Research.
CGS-CIMB Research turut memberitahu, pihaknya mengadakan perbincangan bersama pihak Pentamaster berkaitan hasil kumpulan berkenaan bagi suku ketiga 2020.
Jelasnya, meskipun buku pesanan syarikat berkenaan berkurangan di bawah tahap RM200 juta pada akhir September, Pentamaster berjaya menunjukkan peningkatan pesanan dan tarikan yang lebih baik sejak Oktober.
Keadaan yang lebih baik itu dilihat berada pada kadar melebihi RM200 juta.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut masih mengambil langkah berhati-hati terhadap prospek jangka pendek susulan cabaran untuk menyelesaikan pemasangan projek jarak jauh yang sedikit terganggu akibat sekatan perjalanan.
"Bagaimanapun, kumpulan itu secara aktif mencari peluang untuk mengembangkan wilayah operasinya untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan di pasaran Asia Utara.
"Kumpulan itu juga merancang untuk memperluas kawasan pengeluarannya di kilang Batu Kawan dan Bayan Lepas dengan masing-masing seluas 50,000 dan 30,000 kaki persegi pada tahun kewangan 2021 untuk memenuhi pengeluaran Pentamaster MediQ dan iARMS," jelas CGS-CIMB Research.
CGS-CIMB Research turut mengurangkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) Pentamaster untuk tahun 2020 hingga 2022 sebanyak 5% hingga 9%.
Keputusan itu dibuat berdasarkan kepada penilaian lanjutan tempoh pemasangan di lokasi berbanding jangkaan awal akibat sekatan perjalanan.
Bagaimanapun, CGS-CIMB Research menjangkakan kemungkinan penemuan vaksin COVID-19 dapat mengurangkan sekatan perjalanan berkenaan. - DagangNews.com