Gagasan Nadi bangunkan kediaman mampu milik bernilai RM1 bilion di Kwasa Damansara | DagangNews Skip to main content

Gagasan Nadi bangunkan kediaman mampu milik bernilai RM1 bilion di Kwasa Damansara

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Gagasan Nadi Cergas Berhad telah memperoleh projek kediaman mampu milik di Kwasa Damansara dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion.

 

Gagasan Nadi Cergas berkata, ia memperoleh surat anugerah daripada anak syarikat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kwasa Land Sdn Bhd (Kwasa Land) sebagai rakan kongsi pembangunan projek tersebut.

 

Cadangan pembangunan tersebut merangkumi 4,183 unit kediaman mampu milik yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 14 hektar dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM750 juta, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Syarikat pembinaan itu berkata ia akan membayar RM35.6 juta kepada Kwasa Land sebagai pertimbangan hak pembangunan.

 

Kwasa Land adalah pemaju induk projek ini. Projek baharu tersebut akan menjadi usaha kedua Gagasan Nadi Cergas dengan Kwasa Land, selepas memulakan pembinaan 1,669 unit rumah mampu milik di lokasi sama tahun lepas.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi, Wan Azman Wan Kamal berkata projek pembangunan hartanah pada GDV RM3.6 bilion yang sedang dijalankan oleh syarikat itu akan memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2032.

 

 

Wan Azman Wan Kamal
Wan Azman Wan Kamal 

 

 

“Komitmen berterusan kami membina rumah mampu milik berkualiti tinggi akan membantu lebih ramai rakyat Malaysia B40 dan M40 merealisasikan impian mereka untuk menjadi pemilik rumah dan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

 

Saham Gagasan nadi pada rehat tengah hari ini ditutup rendah 1 sen atau 3.5% kepada 28 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM210.8 juta.- DagangNews.com