Galderma tubuh pasukan khas untuk berinteraksi secara terus dengan profesional kesihatan | DagangNews Skip to main content

Galderma tubuh pasukan khas untuk berinteraksi secara terus dengan profesional kesihatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mac - Syarikat dermatologi, Galderma menubuhkan kumpulan kakitangan pemasaran untuk berkomunikasi secara langsung dengan profesional dan institusi penjagaan kesihatan.

 

Syarikat itu berkata, usaha itu adalah bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada komuniti pakar kesihatan di Malaysia. 

 

Pemindahan aktiviti komersial (jualan dan pemasaran) syarikat itu daripada Zuellig Pharma Sdn Bhd berkuat kuasa sejak 1 Januari 2023.

 

Pengurus Negara Galderma Malaysia, Cindy Tiu berkata, matlamat utama mereka adalah untuk terus menyokong trajektori pertumbuhan dengan penambahbaikan yang akan meningkatkan keupayaan untuk berinteraksi dan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pakar penjagaan kesihatan.

 

Katanya, syarikat itu pada tahun ini akan memberikan tumpuan kepada usaha meluaskan lagi sesi libat urus dengan profesional penjagaan kesihatan yang memiliki kepakaran dalam bidang sains dermatologi.

 

“Rancangan pengembangan ini selaras dengan strategi perniagaan syarikat untuk terus mengembangkan portfolio sinergi jenama-jenama utamanya, yang berasaskan sains agar sepadan dengan keperluan pengguna dan pesakit dengan hasil yang mengagumkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Galderma Malaysia menyediakan portfolio produk termasuk Cetaphil, Epiduo, Differin, Restylane, Sculptra, Tri-Luma, Benzac, Retacnyl, Rozex, Loceryl, Clobex. 

 

Pengumuman pengembangan itu adalah sebahagian daripada fasa perkembangan Galderma di Malaysia. - DagangNews.com