Gamuda cadang ambil alih projek pengangkutan Downer di Australia pada harga RM636 juta | DagangNews Skip to main content

Gamuda cadang ambil alih projek pengangkutan Downer di Australia pada harga RM636 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Feb - Gamuda Bhd. bercadang mengambil alih perniagaan projek pengangkutan di Australia bernilai AU$212 juta (RM636 juta) menerusi anak syarikat asing milik penuhnya di negara itu, DT Infrastructure Pty Ltd. 

 

Syarikat pembinaan itu akan mengambil alih projek itu daripada Downer EDI Works Pty Ltd (DEW) dan VEC Civil Engineering Pty Ltd (secara kolektif dikenali sebagai Downer), menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Downer Transport Projects (DTP)  ialah unit perniagaan yang berbeza di bawah Downer yang menyediakan perkhidmatan pembinaan awam dalam menyampaikan projek pengangkutan untuk pelanggannya, dengan kepakaran khusus dalam rel.

 

Cadangan pemerolehan DTP itu melibatkan projek semasa dengan anggaran kerja dalam tangan hampir AU$2 bilion, kira-kira AU$30 juta aset loji dan peralatan, dan lebih 1,000 pekerja terbabit di lima negeri Australia, iaitu New South Wales, Victoria, Queensland, Selatan Australia dan Australia Barat dan satu wilayah iaitu Wilayah Utara.

 

"DTP berada pada kedudukan yang baik untuk memperoleh projek pengangkutan yang besar dalam perancangan di Australia yang memfokuskan pada rel, rel ringan dan sistem rel kerana kakitangan tempatannya pakar dalam kerja-kerja rel seperti infra, trek, isyarat, penyelenggaraan dan kerja-kerja rel yang ringan," katanya.

 

DTP beroperasi di seluruh Australia dengan menjana pendapatan khususnya daripada pelanggan kerajaan, dengan bahagian yang lebih kecil datang daripada projek swasta.

 

Pangkalan pelanggan, kenalan dan pendedahan geografinya terutamanya terletak di New South Wales, Australia Barat dan Victoria.

 

Beberapa projek utama yang sedang dijalankan oleh DTP adalah berkaitan dengan naik taraf dan pertindihan laluan rel, sambungan rel, penyelenggaraan rel, penyelenggaraan isyarat perkhidmatan dan komunikasi dan naik taraf lebuh raya.

 

DEW dan VEC adalah anak syarikat milik penuh Downer EDI Limited, yang disenaraikan di Australian Securities Exchange. Secara kolektif, Downer EDI dan anak syarikat milik penuhnya dikenali sebagai Downer Group.

 

Menurut Gamuda, nilai perusahaan DTP pada AU$212 juta dicapai menerusi 'willing-buyer willing-seller' selepas rundingan antara kedua-dua pihak dan mengambil kira prestasi DTP. 

 

Katanya, cadangan pemerolehan ini akan dilaksanakan menerusi tunai yang dijana daripada dana dalaman dan pinjaman.

 

"Cadangan ini dilihat sebagai langkah strategik kumpulan dan sejajar dengan pelan pertumbuhannya untuk mencapai hasil tahunan sebagai AU$3 bilion di Australia dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang," jelasnya.

 

Kumpulan juga menjangkakan langkah tersebut dapat menyumbang secara positif kepada keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 dan seterusnya. -DagangNews.com