KUALA LUMPUR 28 Feb - Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) menyokong pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa para perwakilan rasmi Malaysia menggunakan bahasa Melayu di acara rasmi di peringkat antarabangsa.
Ketua Satu GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pengumuman berkenaan meletakkan kedaulatan, kemuliaan dan kedudukan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, pihaknya turut berharap pejabat Pesuruhjaya Tinggi dan kedutaan serta Konsulat Malaysia di seluruh dunia dapat memainkan peranan proaktif menyebarluaskan proses pengantarabangsaan bahasa Melayu.
"Jabatan Atace Pendidikan perlu diberi peranan untuk mempertingkat penyebaran tersebut, disamping diwujudkan jawatan guru bahasa di jabatan berkenaan. Acara-acara rasmi di peringkat antarabangsa merupakan acara yang berkala.
"Yang lebih utama ialah usaha yang berterusan lagi berkesan mengantarabangsakan Bahasa Melayu. Satu lagi tindakan segera dilakukan ialah menubuhkan Bahagian Bahasa Melayu Antarabangsa di Dewan Bahasa dan Pustaka yang berfungsi seperti British Council," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara, termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.
Menurut Ismail Sabri, beliau telah menggunakan Bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama, ketika melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand.
Zainal Abidin pula berkata, ramai warganegara Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu walaupun ianya bahasa kebangsaan negara.
"Tindakan yang sewajarnya yang menuntut ketegasan dilakukan supaya semua warganegara Malaysia fasih berbahasa kebangsaan. Di negara sendiri bahasa Melayu didaulatkan di peringkat antarabangsa ianya dimuliakan," katanya. - DagangNews.com